Saturday, July 6, 2013

Perancis intip panggilan telefon?


Gambar tidak bertarikh menunjukkan lokasi yang dipercayai ibu pejabat agensi perisikan Perancis, DGSE yang digunakan untuk memintas semua proses komunikasi di negara tersebut dan beberapa negara lain. - AGENSI
PARIS 5 Julai - Satu akhbar tempatan Perancis mendedahkan bahawa sebuah agensi perisikan di negara ini memintas semua proses komunikasi dengan mengintip panggilan telefon masuk dan keluar serta data komputer selama beberapa tahun.
Akhbar Le Monde semalam melaporkan, kesemua data komunikasi di negara ini disimpan dalam 'supercomputer' di ibu pejabat agensi perisikan bernama DGSE.
"DGSE mengumpul maklumat komunikasi menggunakan isyarat elektromagnet yang dipancarkan oleh semua komputer di negara ini, mahupun antara Perancis dan negara lain.
"Data komunikasi yang dikumpul menerusi perbualan komunikasi, E-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook, Twitter akan disimpan selama beberapa tahun di dalam supercomputer yang mana agensi perisikan lain boleh mengaksesnya," jelas laporan akhbar tersebut.
Sementara itu, kerajaan bagaimanapun enggan memberi sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.
Anggota Parlimen, Jean-Jacques menerusi satu kenyataan berkata, laporan tersebut boleh disifatkan sebagai 'tidak sepadan dengan realiti undang-undang negara ini'.
"Memintas data komunikasi penduduk Perancis tertakluk di bawah undang-undang yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Keselamatan Kawalan Pintasan Kebangsaan (CNCIS) dan data yang dikumpul akan dilupuskan selepas digunakan.
"Rakyat negara ini tidak tertakluk pada pengintipan secara besar-besaran dan tetap berada di luar penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Presiden Francois Hollande kelmarin mengancam untuk menyekat rundingan perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) selepas media melaporkan Agensi Keselamatan Kebangsaan AS mengintip pejabat dan kedutaan negara-negara Eropah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130706/lu_04/Perancis-intip-panggilan-telefon#ixzz2YH2zf7z1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment