Ashfaq Kayani |
Islamabad: Persoalan siapa yang akan menggantikan ketua tentera Pakistan semakin hangat diperkatakan kerana Jeneral Ashfaq Kayani bakal melepaskan jawatan pada November depan selepas enam tahun berkhidmat.
Sekali gus, ia memberi cabaran terbesar kepada Perdana Menteri, Nawaz Sharif membuat pilihan selepas berkuasa Mei lalu.
Tentera lebih banyak memerintah Pakistan sejak negara itu merdeka pada 1947.Malah, ketika pemimpin awam memerintah sekali pun, tokoh tentera diberi portfolio keselamatan dan dasar luar.
Nawaz bukan hanya mahu seseorang yang dipercayai tetapi juga supaya orang itu dapat menyekat peranan politik tentera” Bekas pegawai kanan tentera
Pisah tentera daripada politik
Nawaz berkata, beliau mahu memisahkan tentera daripada politik dan mengambil alih portfolio hal ehwal luar dan pertahanan.
Bagaimanapun, tentera Pakistan nyata kurang campur tangan dalam politik di bawah teraju Kayani menyebabkan beliau dianggap seorang yang pragmatik.
Nawaz yang digulingkan tentera pada 1999 diketahui ramai tidak rapat dengan tentera dan memilih pengganti Kayani mungkin detik penting bagi penggal kedua pemerintahannya.
“Nawaz bukan hanya mahu seseorang yang dipercayai tetapi juga supaya orang itu dapat menyekat peranan politik tentera.
“Pihak tentera juga mahu seseorang yang dapat bekerjasama dengan Nawaz,” kata seorang bekas pegawai kanan tentera.
Pegawai tentera sendiri enggan mengulas tetapi dalam wawancara senyap, beberapa nama dikemukakan.
Ia termasuk Ketua Turus Kakitangan ketika ini, Leftenan Jeneral Rashad Mahmood, Leftenan Jeneral Tariq Khan yang dipandang pragmatik dalam hubungan dengan Amerika Syarikat dan Leftenan Jeneral Haroon Aslam, pegawai paling kanan selepas Kayani.
Ada juga yang membuat spekulasi bahawa Kayani mungkin kekal di jawatan itu selama tiga tahun lagi. - REUTERS
No comments:
Post a Comment