Monday, August 19, 2013

Polis Mesir gempur masjid


SEORANG penyokong Ikhwanul Muslimin melarikan diri berhampiran sebuah kenderaan yang terbakar ketika pertempuran di Dataran Ramses, Kaherah, Mesir kelmarin.


KAHERAH - Polis Mesir berjaya menyuraikan perhimpunan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi yang berlindung di dalam Masjid Al-Fatah di sini kelmarin selepas kedua-dua pihak berbalas tembakan.
Pasukan keselamatan menarik keluar penunjuk perasaan di masjid yang turut dikelilingi penyokong kerajaan sementara Mesir yang menyifatkan mereka sebagai pengganas.
Pertempuran berlaku selepas kerajaan sementara Mesir menyatakan seramai 173 nyawa melayang dalam tempoh 24 jam. Ini sekali gus menjadikan angka kematian melebihi 750 orang sejak Rabu lalu.
Angka kematian meningkat selepas polis menggempur dua kem penyokong setia Morsi di ibu negara baru-baru ini.
Pada awalnya, pasukan keselamatan cuba memujuk penunjuk perasaan beredar dari masjid itu. Namun, situasi berubah menjadi ganas kelmarin.
Sekurang-kurangnya 1,042 orang terbunuh sejak 26 Jun lalu apabila penyokong Morsi mula mengadakan protes jalanan selepas beliau digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.
Insiden di Masjid Al-Fatah di Dataran Ramses bermula pada Jumaat lalu apabila pasukan keselamatan mengepung kompleks yang menjadi tempat perlindungan beberapa ratus penyokong Morsi.
Kementerian Dalam Negeri menyatakan seramai 385 orang di dalam masjid berkenaan telah ditangkap.
Walaupun konflik kian meruncing, Ikhwanul Muslimin berikrar mahu mengadakan protes baharu di Kaherah dan beberapa lokasi lain sehingga Morsi dibebaskan daripada penjara dan dilantik kembali sebagai Presiden Mesir.
Pengumuman tersebut mencadangkan bahawa bantahan jalanan tidak akan berakhir sejak Morsi digulingkan.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Mesir, Ziad Bahaa el-Din cuba berunding dengan Ikhwanul Muslimin bagi menamatkan pertumpahan darah ketika kabinet membincangkan krisis itu semalam.
Antara inisiatif yang dicadangkan Ziad adalah gesaan menamatkan segera darurat, penyertaan politik untuk semua pihak dan jaminan hak asasi manusia termasuk hak kebebasan berhimpun.
Namun, idea beliau dilihat bertentangan dengan cadangan Perdana Menteri Mesir, Hazem el-Beblawi untuk mengharamkan pergerakan berusia 85 tahun itu.
"Tidak akan ada perdamaian dengan pihak yang mengotorkan tangan dengan darah dan mereka yang mengangkat senjata menentang negara," kata Hazem kepada pemberita kelmarin. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2cMdMqnol 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment