Tuesday, August 6, 2013

Bimbang ancaman keganasan


Beberapa pegawai polis berkawal di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Tokyo, Jepun, semalam. - AFP
WASHINGTON 4 Ogos - White House semalam mengadakan mesyuarat tergempar berprofil tinggi berhubung ancaman pengganas yang menyebabkan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran perjalanan ke seluruh dunia dan mengarahkan pejabat kedutaannya terutama di seluruh negara Islam ditutup sementara waktu.
Mesyuarat itu juga diadakan selepas Interpol mengeluarkan amaran keselamatan global selepas beratus-ratus militan al-Qaeda terlepas daripada penjara dan insiden serangan berani mati yang mengorbankan sembilan orang berhampiran konsulat India di Jalalabad, Afghanistan.
Mereka yang menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Susan Rice itu termasuklah Setiausaha Negara, John Kerry, Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel dan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Janet Napolitano.
Turut hadir ialah ketua-ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), selain duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Barack Obama bagaimanapun tidak menghadiri mesyuarat itu, tetapi beliau akan diberi penerangan kemudian.
"Awal minggu ini, Presiden telah mengarahkan pasukan Keselamatan Kebangsaan untuk mengambil semua langkah perlu untuk melindungi rakyat AS ekoran potensi ancaman yang timbul atau datang dari Semenanjung Arab," menurut White House dalam satu kenyataan.
Akibat ancaman itu, Jabatan Negara AS mengarahkan 22 pejabat kedutaannya di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia ditutup hari ini, sebagai langkah berjaga-jaga.
Jerman dan Britain turut mengumumkan penutupan pejabat kedutaan negara itu di Yemen hari ini dan esok, sementara Perancis bertindak menutupnya selama beberapa hari.
AS kelmarin turut mengeluarkan amaran perjalanan ke seluruh dunia kepada rakyatnya ekoran kebimbangan terhadap komplot serangan oleh al-Qaeda ke atas kepentingan Washington di Asia Barat dan Afrika Utara pada Ogos ini.
Menurut Interpol, 'beratus-ratus pengganas dan penjenayah terlepas' dari penjara di sembilan negara, termasuk di Iraq, Libya dan Pakistan untuk tempoh bulan lalu sahaja.
Menurut agensi polis global itu, bulan Ogos juga adalah ulang tahun serangan di India, Rusia dan Indonesia, selain menjadi ulang tahun ke-15 pengeboman Kedutaan AS di Nairobi, Kenya yang menyebabkan lebih 200 orang maut dan beribu-ribu lagi cedera. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130805/lu_02/Bimbang-ancaman-keganasan#ixzz2bBqUychv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment