Friday, August 9, 2013

Penduduk Tunisia anjur tunjuk perasaan besar-besaran


beribu-ribu penduduk Tunisia mengadakan tunjuk perasaan mendesak kerajaan Islam Tunisia meletak jawatan berhubung pembunuhan dua pemimpin pembangkang, di Tunis, kelmarin. - AP
TUNIS 7 Ogos - Beribu-ribu penduduk Tunisia mengadakan tunjuk perasaan, di sini semalam bagi menuntut kerajaan dibubarkan, tunjuk perasaan antikerajaan terbesar setakat ini, ketika krisis politik di negara ini semakin memburuk.
Krisis politik di Tunisia meruncing sejak pembunuhan anggota Parlimen pembangkang, Mohamed Brahmi pada 25 Julai lalu.
Seorang pegawai polis menganggarkan kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan itu.
Pemimpin pembangkang bagaimanapun meletakkan jumlah mereka yang menyertai tunjuk perasaan itu ialah 100,000 hingga 200,000 orang.
Tunjuk perasaan diadakan di jalan-jalan raya di ibu negara Tunis bagi menggesa kerajaan pimpinan parti berhaluan Islam sederhana, Parti Ennahda meletak jawatan.
Pembunuhan Brahmi, selain seorang lagi ahli politik pembangkang, Chokri Belaid dipersalahkan kepada kumpulan pelampau, tetapi Kabinet pimpinan Ennahda dikritik kerana kurang berusaha mengelak kejadian itu.
Tunjuk perasaan kali ini juga disertai oleh pelbagai parti pembangkang daripada sayap radikal dan sayap kanan.
Penunjuk perasaan turut membawa gambar kedua-dua pemimpin pembangkang yang terbunuh itu, sambil melaungkan slogan 'Rakyat mahu kerajaan ditumbangkan' dan 'Kerajaan akan berakhir hari ini'.
Sementara itu, Dewan Perlembagaan Kebangsaan (ANC) yang merupakan satu badan yang dipilih pada 2011 untuk merangka Perlembagaan baharu akan digantung.
Speaker Dewan, Mustapha Ben Jaafar berkata, penangguhan akan dibuat sehinggalah kerajaan dan pembangkang berunding untuk memecahkan kebuntuan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130808/lu_02/Penduduk-Tunisia-anjur-tunjuk-perasaan-besar-besaran#ixzz2bSyaniS0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment