Tuesday, September 3, 2013

Kereta terpakai tak laku?

Kereta terpakai tak laku?Jualan kereta terpakai dijangka tidak terjejas dengan dasar baru kerajaan menurunkan harga kereta baru.

DASAR baru kerajaan untuk mengurangkan harga kereta yang dijual di negara ini secara berperingkat menjelang 2016 menggembirakan pembeli.

Ramai berpendapat penurunan itu memberi faedah terutama kepada golongan muda yang baru mula bekerja untuk memiliki kereta.

Tetapi adakah dasar ini akan menyebabkan penjual kereta terpakai gulung tikar dan seterusnya menjejaskan industri dengan tenaga kerja lebih 100,000 orang itu?

Ini kerana jika harga kereta baru sudah cukup rendah untuk dibeli, mungkin ramai orang memilih kereta baru berbanding kereta terpakai.

Namun, bagi mereka yang terlibat dalam industri kereta terpakai, penurunan harga kereta baru dijangka tidak memberi kesan buruk.

Kamarulzaman Zainal, penjual kereta terpakai di Gombak, Selangor berkata, walaupun harga kereta baru diturunkan, kereta terpakai masih diperlukan orang berpendapatan rendah kerana beza harga antara kereta baru dan terpakai masih tinggi.

"Ada harga kereta terpakai hanya separuh daripada harga kereta baru, jadi kereta terpakai masih jadi pilihan mereka yang bergaji kecil," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai jurujual kereta selama 11 tahun berkata, dasar kerajaan mengurangkan harga kereta memberi peluang pada golongan muda untuk memiliki kereta sendiri.

"Jumlah pelanggan kereta terpakai buat masa ini juga makin bertambah kerana pinjaman serta bayaran bulanan rendah," tambahnya.

Sementara itu, jurujual kereta terpakai di Bangsar, Shareeta Majid berkata, keuntungan daripada jualan kereta terpakai mungkin sedikit menurun kerana ramai pelanggan akan memilih kereta baru yang berharga rendah.

“Ramai orang di bandar akan pilih untuk beli kereta baru, tapi di luar bandar atau kampung kereta terpakai masih jadi pilihan kerana ramai  pelanggan di kawasan itu lebih suka beli tunai daripada berhutang bank," katanya.

Bagi Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), penurunan harga kereta yang dilakukan secara berperingkat boleh melindungi industri kereta terpakai di Malaysia.

Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor berkata, persatuan itu telah bersedia lebih awal dengan melakukan sedikit perubahan pada harga kereta terpakai dengan melihat tiga faktor penting iaitu harga kereta baru mengikut masa, keadaan kereta terpakai dan permintaan dan bekalan.

Beliau mengakui akan ada kesan penurunan harga kereta baru kepada industri kereta terpakai tetapi ianya tidak begitu besar.

"Antara kesannya, mungkin kereta terpakai tak dapat dijual dengan keuntungan agresif.

"Apa pun, majoriti ahli kami boleh menerima penurunan harga kereta baru secara berperingkat kerana kesannya minimum," katanya.

No comments:

Post a Comment