Tuesday, September 3, 2013

Militan serang pangkalan tentera AS di Afghanistan


ANGGOTA polis mengawal trak-trak milik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang terbakar akibat serangan militan di Torkham, berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan semalam.- ap


NANGARHAR - Sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan dekat sempadan Pakistan diserang oleh kumpulan militan semalam dengan melancarkan serangan bom dan membakar sejumlah kenderaan, kata beberapa pegawai.
Jalan utama yang menjadi laluan lori-lori milik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan mangsa dipercayai anggota pemberontak yang menyerang pangkalan terbabit.
Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang berlaku di Torkham, wilayah Nangarhar itu.
Ia merupakan serangan terbaharu ketika operasi tentera asing yang diketuai AS akan berundur dari Afghanistan menjelang penghujung 2014.
Jurucakap gabenor Nangarhar, Ahmad Zia Abdulzai berkata, tentera AS dan pasukan keselamatan Afghanistan berbalas tembakan dengan militan yang muncul memakai jaket berisi bahan letupan serta membawa beberapa senjata lain.
Sementara itu, timbalan ketua polis Nangarhar, Masoum Khan Hashimi berkata, pertempuran bermula sekitar pukul 6.30 pagi dan berakhir tiga jam setengah kemudian.
Menurut Masoum, sebuah bom kereta berjaya diletupkan dalam serangan itu.
Seorang jurugambar agensi berita AP di lokasi kejadian melihat tiga mayat dipercayai penyerang ditembak mati daripada helikopter NATO. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2dmuJedSF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment