Sunday, September 15, 2013

Pencerobohan pejuang bersenjata MNLF telah dibendung


PRESIDEN Benigno Aquino (berdiri dua dari kanan) melawat askar-askar yang cedera di Hospital Kem Navarro di Zamboanga, selatan Filipina kelmarin. - Afp


ZAMBOANGA - Tentera Filipina menggempur saki-baki pejuang pemisah Islam selepas operasi selama enam hari di selatan negara berkenaan yang menyaksikan berpuluh-puluh anggota pemisah terbunuh manakala sejumlah tebusan turut menyelamatkan diri, kata pihak berkuasa semalam.
Polis menganggarkan kumpulan terakhir pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kini menahan kira-kira tujuh tebusan di bandar pelabuhan ini, selatan Filipina berbanding 100 orang pada hari sebelumnya.
"Menjelang hari ini (semalam), pencerobohan oleh MNLF bukan sahaja dapat dibendung tetapi kami mula memasuki fasa pembersihan," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.
Komen beliau meningkatkan harapan bahawa krisis yang menyebabkan seluruh kampung dibakar dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri itu akan berakhir tidak lama lagi.
Jurucakap Tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, operasi siang dan malam oleh sekurang-kurangnya 3,000 askar elit kerajaan telah membunuh 43 pejuang pemisah manakala 19 lagi ditahan.
"Kini kami optimis bahawa operasi kami berkesan dan kami menyebabkan pihak musuh mengalami kekalahan teruk," katanya.
"Kami berharap operasi tentera ini akan dapat ditamatkan secepat mungkin," tambah Zagala.
Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa pejuang-pejuang bersenjata itu masih berbahaya manakala kehadiran orang awam di beberapa kawasan kejiranan tempat kumpulan MNLF itu bersembunyi menyebabkan pihak tentera hanya boleh menggunakan senjata ringan.
"Seramai enam anggota polis dan tentera maut manakala empat orang awam turut terbunuh dalam krisis kali ini," ujarnya.
Perkembangan positif itu beberapa jam selepas Naib Presiden Filipina, Jejomar Binay menawarkan gencatan senjata antara kerajaan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari.
Binay mengiringi Presiden Benigno Aquino ke bandar raya ini semalam untuk membincangkan pelan gencatan senjata yang dibangkitkan oleh beliau dengan Misuari.
"Gencatan senjata itu dijadualkan berkuat kuasa pada pukul 12 malam hari ini," kata seorang jurucakap Naib Presiden berkenaan.
Roxas mengesahkan tentang pertemuan antara Aquino dengan Binay tetapi Presiden berkenaan tidak mengarahkan tentera supaya menghentikan operasi ke atas MNLF.
Konflik tersebut bermula pada Isnin lalu apabila pasukan pejuang MNLF yang lengkap bersenjata memasuki beberapa daerah di sini dan menahan sejumlah tebusan.
Tindakan itu dilakukan bagi merosakkan rundingan damai antara Manila dengan kumpulan pemisah lain.
Pertempuran tersebut memaksa sejumlah 69,000 orang meninggalkan kediaman mereka.
Marsyal Jabatan Bomba Zamboanga, Dominador Zabala berkata, hampir 500 buah rumah dibakar oleh pejuang-pejuang MNLF.
"Mereka turut menembak ke arah jentera-jentera bomba yang dihantar untuk memadamkan kebakaran," katanya.
MNLF melancarkan perang gerila selama 25 tahun untuk mendapatkan kemerdekaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada 1996 yang memberikan mereka pemerintahan sendiri terhad di selatan Filipina.
Misuari yang menuduh Manila melanggar syarat perjanjian 1996 dengan berunding dengan seteru MNLF telah menghilangkan diri beberapa hari sebelum pertempuran tercetus pada Isnin lalu.
Seteru Misuari, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kini dalam peringkat akhir rundingan damai dengan Manila dan dijangka mengambil alih pentadbiran autonomi lebih meluas di selatan negara itu menjelang 2016.
Majoriti penduduk di selatan negara itu adalah beragama Islam.
Aquino memberitahu, rundingan damai dengan MILF bertujuan untuk menamatkan penentangan sejak beberapa dekad lalu yang meragut sebanyak 150,000 nyawa di negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ev8TGbWm 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment