Sunday, September 15, 2013

Pertempuran berterusan

Zamboanga: Pertempuran antara tentera kerajaan dengan anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro berterusan di selatan Filipina semalam.
Perkembangan itu memusnahkan serta-merta gencatan senjata yang dicapai dan menyebabkan ramai penduduk berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan.
Tentera berkata, 53 orang terbunuh dalam petempuran yang masuk hari keenam di Zamboanga, semalam.

Puluhan lagi cedera dan lebih 60,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman.
Foto
TENTERA Filipina mengawal di kawasan yang dikuasai mereka ketika pertempuran dengan kumpulan MNLF berterusan.
Beratus-ratus rumah pula terbakar.
Anggota MNLF itu menyasarkan serangan mereka terhadap tentera dan menawan puluhan orang awam untuk dijadikan tebusan.

Lewat kelmarin, Naib Presiden Jejomar Binay berkata, beliau berbincang dengan pemimpin kumpulan itu, Nur Misuari dan mencapai kata sepakat untuk mengadakan gencatan senjata serta perbincangan bagi menamatkan konflik berkenaan.

Namun, pertempuran sengit meletus sejurus selepas tengah malam di sebuah kampung tepi pantai ketika tentera mengusir kumpulan pemisah itu, menembak mati empat daripada mereka.

Pertempuran juga meletus di tiga daerah di Zamboanga pada awal pagi.

Sementara itu, di daerah Santa Barbara, anggota MNLF yang menahan ratusan tebusan di Zamboanga melepaskan tembakan bom roket ke arah 50 anggota tentera di jalan raya, menyebabkan beberapa orang cedera.

Di Basilan, tembak-menembak dilapor meletus untuk hari ketiga berturut-turut.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Voltaire Gazmin berkata, beliau dimaklumkan oleh Binay bahawa gencatan senjata itu dipersetuju tetapi tidak dilaksanakan.

“Kami akan berhenti menembak jika mereka berhenti menembak tentera dan orang awam,” katanya.

Pertempuran di wilayah berkenaan sepanjang empat dekad lalu meragut lebih 120,000 nyawa dan menyebabkan dua juta orang hilang tempat tinggal. - Agensi

No comments:

Post a Comment