Thursday, October 10, 2013

Arahan tangkap Nur Misuari


Sebahagian anggota kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menyerah diri, menunggu untuk menjalani prosedur penahanan di sebuah balai polis di Zamboanga, selatan Filipina, pada 26 September lalu. - REUTERS
MANILA 9 Okt. - Pihak pendakwa raya hari ini meminta sebuah mahkamah di Zamboanga mengeluarkan arahan untuk menangkap pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari dan tiga komander kanannya yang didakwa atas kesalahan melancarkan pemberontakan.
Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima berkata, Nur Misuari yang kini diburu, didakwa atas kesalahan melancarkan serangan bersenjata ke atas bandar Zamboanga, selatan negara ini pada bulan lalu sehingga mengorbankan 244 orang.
Menurut de Lima, pihak pendakwa raya mempunyai bukti yang menyatakan Nur Misuari merupakan dalang krisis berkenaan, walaupun pemimpin MNLF itu tidak menyertai serangan tersebut.
Jelasnya, tiga komander MNLF, Habier Malik, Bas Arki dan Assamin Hussin, yang masih diburu pihak berkuasa, turut didakwa atas kesalahan mengetuai serangan berdarah itu.
"Saya yakin pihak mahkamah mempunyai bukti yang kukuh dan mencukupi untuk mengheret pemimpin MNLF itu ke muka pengadilan," katanya.
Selain dakwaan tersebut, sebanyak 57 anggota MNLF yang ditahan, turut didakwa atas kesalahan melancarkan pemberontakan pada 9 September lalu.
Mengikut undang-undang Filipina, kesalahan memberontak boleh dikenakan hukuman maksimum iaitu dipenjarakan seumur hidup.
Sementara itu, jurucakap polis negara, Supritendan Reuben Sindac berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan operasi memburu Nur Misuari yang dipercayai bersembunyi di lokasi yang tidak diketahui.
Dalam insiden bulan lalu, beratus-ratus anggota bersenjata MNLF menawan beberapa kawasan di Zamboanga dan menahan tebusan selama tiga minggu, menyebabkan pertempuran tercetus antara pihak tentera dan kumpulan terbabit.
Pertempuran tersebut sekali gus mengganggu usaha perjanjian damai antara seteru utama MNLF, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan.
Serangan MNLF itu menyebabkan lebih 116,000 penduduk Zamboanga terpaksa dipindahkan dan kira-kira 10,000 kediaman musnah akibat pertempuran, sekali gus menjadi keganasan paling buruk sejak Presiden Benigno Aquino III mentadbir Filipina sejak 2010. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131010/lu_04/Arahan-tangkap-Nur-Misuari#ixzz2hGjBAVvW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment