Thursday, October 10, 2013

Wan Nor Azlin telah kosongkan rumah ayah - Peguam


KUALA LUMPUR 8 Okt. - Pelakon drama, Wan Nor Azlin telah mengosongkan rumah bapanya di Taman Sri Keramat yang merupakan harta sepencarian bersama arwah ibunya yang menjadi 'pertikaian' antara kedua-dua beranak itu di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Nuraini Atiqah Abdul Aziz yang mewakili pelakon itu memberitahu pemberita, anak guamnya telah mengosongkan rumah tersebut pada Ogos lalu.
Menurut beliau, berdasarkan perkembangan tersebut, bapa kepada anak guamnya itu, Wan Mohd. Husain Wan Ibrahim, 76, telah menarik balik tuntutan untuk mendapatkan pemilikan kosong ke atas premis tersebut.
Ekoran perkembangan tersebut, Nuraini Atiqah berkata, perbicaraan di mahkamah tersebut kelak hanya melibatkan taksiran ganti rugi yang dialami oleh Wan Mohd. Husain.
Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop menetapkan 31 Oktober ini bagi pengurusan kes saman tersebut. Wan Mohd. Husain diwakili peguam, Razila Rashid.
Wan Mohd. Husain memfailkan saman terhadap Wan Nor Azlin, 45, pada 5 Februari lalu dengan mendakwa, anaknya itu menghalangnya menjual hartanah dan enggan keluar dari rumah tersebut.
Wan Nor Azlin yang pernah menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa 2001 menerusi drama 'Takbir Untuk Abdah', bertindak memfailkan pula permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan pada 20 Mac lalu.
Ini kerana pelakon itu menyatakan, mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa ke atasnya memandangkan terdapat perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berhubung tuntutan bapanya itu.
Bagaimanapun pada 31 Mei lalu, Rosilah menolak permohonan Wan Nor Azlin untuk mengetepikan tuntutan saman bapanya itu.
Wan Nor Azlin pada 24 September lalu gagal dalam tuntutan harta sepencarian bagi pihak arwah ibunya setelah Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan untuk membenarkan bantahan awal bapanya.
Dalam kes saman induk di Mahkamah Sivil, Wan Mohd. Husain selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan mendakwa, dia telah mengajak Wan Nor Azlin tinggal bersama selepas isterinya meninggal dunia.
Sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah meminta anaknya yang dinamakan sebagai pihak defendan, membuat sebarang bayaran bil utiliti atau sewa bulanan.
Pada pertengahan 2011, plaintif memberitahu defendan yang dia ingin menjual rumah tersebut dan mahu hartanah itu dikosongkan tetapi defendan enggan keluar dengan alasan telah memasang kabinet dapur dan almari pakaian.
Wan Mohd. Husain mendakwa, anaknya turut mengoyakkan iklan yang ditampal dan mengganggu bakal pembeli yang datang melihat rumah itu.
Pelakon itu juga dakwa bapanya, telah memasukkan kaveat (sekatan) persendirian pertama pada 12 Oktober 2011.
Menurut plaintif, dia kemudian telah menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pihak ketiga pada 31 Oktober 2012.
Namun dakwa plaintif, Wan Nor Azlin enggan mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan pada 30 Disember 2012 dan masih menduduki hartanah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131009/ma_03/Wan-Nor-Azlin-telah-kosongkan-rumah-ayah---Peguam#ixzz2hGnYGWvp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment