Saturday, November 2, 2013

AS akui risikan melampau


SEORANG pengawal keselamatan menghalang anggota media merakam gambar di hadapan Kedutaan Australia di Jakarta, Indonesia, semalam. - Reuters
WASHINGTON 1 Nov. - Amerika Syarikat (AS) mengakui program intipan dilaksanakan negara ini adakalanya melampau, pengakuan pertama seumpamanya berhubung hubungan dingin dengan Eropah mengenai risikan ke atas sekutu-sekutu AS.
Selepas 10 hari skandal dengan sekutu rapat di Eropah, kenyataan Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam itu menjadikannya sebagai pemimpin pertama negara ini membuat pengakuan tersebut.
Kerry bagaimanapun menjelaskan, pengintipan itu secara amnya penting selepas serangan keganasan pada 11 September 2001 selain serangan di London dan Madrid, ekoran usaha semua negara untuk memerangi 'elemen pelampau' di dunia.
Beliau berkata, perisikan AS sejak 2001 berjaya menghalang serangan-serangan dengan memintas komunikasi, namun beliau mengaku adakalanya tindakan itu bersifat melampau, tanpa memberikan maklumat terperinci.
Kerry turut memberi jaminan tindakan tersebut yang turut melibatkan sekutu rapat iaitu Jerman, tidak akan berulang.
"Saya memberikan jaminan bahawa orang tidak bersalah tidak akan diganggu dalam proses ini, namun masih ada usaha untuk mengumpul maklumat. Adakalanya ia mencapai tahap melampau.
"Presiden Barack Obama kini menilai semua arahan supaya tidak timbul sebarang masalah,'' katanya.
Jelas Kerry, intipan dilakukan AS sebenarnya bersifat rawak bagi mengenal pasti ancaman yang perlu ditangani.
Sementara itu, Jakarta memanggil Duta Australia ke Indonesia, Greg Moriarty bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan menyatakan kedutaan negara itu di Jakarta terbabit dalam program intipan global oleh AS.
Moriarty sejurus pertemuan selama 20 minit dengan Setiausaha Agung Kementerian Luar, Budi Bowoleksono berkata, mesyuarat itu berjalan lancar.
"Pada pandangan saya, pertemuan ini berjalan lancar dan saya akan melaporkan apa yang kami bincangkan kepada kerajaan saya," katanya. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131102/lu_04/AS-akui-risikan-melampau#ixzz2jQh6Kajt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment