Saturday, November 2, 2013

Gaji minimum pekerja di Jakarta dinaikkan 11 peratus


SEBAHAGIAN pekerja Indonesia, melaungkan slogan menuntut kenaikan gaji minimum di luar bangunan Dewan Bandar Raya Jakarta, semalam. - AP
JAKARTA 1 Nov. - Indonesia hari ini mengumumkan kenaikan gaji minimum untuk tahun 2014 sebanyak 11 peratus kepada pekerja di ibu negara ini, lebih rendah daripada kenaikan 50 peratus yang dituntut kesatuan sekerja.
Keputusan itu diumumkan Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang meluluskan kenaikan gaji minimum daripada 2.2 juta rupiah (RM614.6) kepada 2.4 juta rupiah (RM670.5).
Bagaimanapun, pengumuman itu belum mampu meredakan tunjuk perasaan oleh golongan pekerja yang meneruskan mogok buat hari kedua, hari ini.
Pengerusi Gabungan Kesatuan Perdagangan Indonesia, Said Iqbal berkata, tuntutan utama mogok adalah kenaikan gaji minimum yang akan meningkatkan gaji di Jakarta kepada 3.7 juta rupiah (RM1,033) sebulan.
Katanya, kira-kira dua juta pekerja di 20 daripada 34 wilayah Indonesia keluar menyertai mogok pada hari pertama demonstrasi itu, semalam.
Tahun lalu, pekerja diberikan kenaikan gaji 44 peratus ekoran bantahan serupa yang membabitkan ribuan pekerja di seluruh negara.
Said berkata, selain kenaikan gaji, pekerja turut meminta kerajaan menyediakan lebih banyak manfaat dan menghentikan pengambilan pekerja kontrak.
Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga orang cedera selepas ditikam dalam pertempuran dengan ahli-ahli sebuah pertubuhan belia yang berang apabila beberapa pekerja cuba untuk memaksa orang lain menyertai mogok itu.
Sementara itu, jurucakap polis, Rikwanto berkata, lebih 17,300 anggota keselamatan dikerah untuk mengawal keselamatan ibu negara dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, jumlah pekerja yang melancarkan mogok agak rendah kerana kebanyakan pekerja mengabaikan gesaan mogok itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131102/lu_09/Gaji-minimum-pekerja-di-Jakarta-dinaikkan-11-peratus#ixzz2jQkTxeIf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment