KUALA LUMPUR 19 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan rang undang-undang baharu bagi memerangi perbuatan fitnah serta penghinaan ke atas Islam dan institusi diraja khususnya dalam internet.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengenalan kepada rang undang-undang baharu itu adalah perlu, sejajar dengan pendirian kerajaan untuk tidak mengharamkan media berkenaan.
Menurutnya, KDN menyedari berlaku banyak salah guna di media alternatif terutama melibatkan aspek fitnah, justeru masalah tersebut perlu ditangani dengan undang-undang baharu.
"Saya harap bila rang undang-undang ini dikemukakan, semua dapat menyokong," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 (SOSMA) dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Pindaan terhadap akta tersebut kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, pindaan terhadap Seksyen 6 Akta SOSMA yang melibatkan kebenaran untuk pihak berkuasa melakukan pintasan komunikasi tidak bertujuan politik tetapi demi keselamatan negara.
Tegasnya, tidak timbul soal mengenai kebimbangan pintasan komunikasi demi tujuan politik kerana kebenaran tersebut memerlukan kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya dan bukannya pegawai polis.
Tambahnya, sebaik bukti menerusi pintasan komunikasi diperoleh, Timbalan Pendakwa Raya akan memadam perkara berkait politik serta peribadi dan hanya menumpukan kepada bukti jenayah.
"Melalui langkah ini, kita meyakini bahawa setiap pintasan komunikasi hanya akan dibuat atas faktor keselamatan dan bukan bertujuan politik kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah bebas politik," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20131220/pa_02/KDN-perkenal-akta-baharu-perangi-fitnah-internet#ixzz2o5OSlHAm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment