Wednesday, December 18, 2013

Kenaikan tol dan elektrik: TWU minta kerajaan timbang semula


2013/12/18
KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.

Setiausaha Agung (TWU) Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh bertambah setiap tahun.


"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan boleh berunding semula berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.

Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas perbelanjaan harian mereka.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment