Wednesday, December 4, 2013

Kim Jong-un didakwa dalangi pemecatan bapa saudara


Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (kanan), berjalan di hadapan bapa saudaranya Jang Song-thaek, semasa perarakan tentera menyambut ulang tahun kelahiran bapanya, Kim Jong-il di Pyongyang, pada 16 Februari tahun lalu. - REUTERS
SEOUL 3 Dis. - Bapa saudara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Jang Song-thaek digugurkan daripada jawatannya dalam badan tertinggi tentera negara itu dan beberapa orang kenalan dan pembantunya dihukum mati.
Agensi perisikan Korea Selatan, Perkhidmatan Perisikan Nasional (NIS) memaklumkan satu jawatankuasa Parlimen bahawa Song-thaek yang merupakan antara lelaki paling berpengaruh di negara itu, dipecat sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Pertahanan Nasional.
Jika laporan itu disahkan, pemecatan Song-thaek, 67, merupakan penyingkiran pemimpin Korea Utara tertinggi sejak Jong-un menggantikan bapanya, Kim Jong-il sebagai pemimpin negara ini pada Disember 2011.
Menurut NIS, Song-thaek baru- baru ini dipecat daripada kedudukannya dan dua kenalan rapatnya, Ri Yong-ha dan Jang Soo-kil dihukum mati di khalayak ramai, kata Ahli Parlimen Korea Selatan, Jung Cheong-rae kepada wartawan.
Cheong-rae berkata, kakitangan tentera Korea Utara dimaklumkan mengenai hukuman mati tersebut dan Song-thaek 'hilang' sejak itu.
Song-thaek yang merupakan suami kepada adik perempuan Jong-il, Kim Kyong-hui dilihat sebagai orang yang membantu mengukuhkan pengaruh Jong-un selepas kematian bapanya.
Beliau sering dirujuk sebagai pemimpin nombor dua tidak rasmi dalam barisan kepimpinan Korea Utara dan dinamakan oleh sejumlah penganalisis sebagai orang yang berkuasa di belakang Jong-un. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131204/lu_04/Kim-Jong-un-didakwa-dalangi-pemecatan-bapa-saudara#ixzz2mSQ13s6f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment