Thursday, December 26, 2013

Sudan Selatan diambang perang


GAMBAR yang disiarkan oleh misi pengaman UNMISS menunjukkan orang awam mencari perlindungan di luar pangkalan UNMISS di Bor pada 18 Disember lalu.


JUBA - Beribu-ribu orang terbunuh dalam keganasan selama lebih seminggu di Sudan Selatan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat laporan berhubung sejumlah mayat yang ditemui di dalam beberapa buah kubur besar.
Sebahagian besar kawasan di Sudan Selatan berada di luar kawalan kerajaan dengan negara baharu itu dibimbangi akan terjerumus ke dalam kancah perang saudara.
Kelmarin, pihak kerajaan menyatakan tenteranya telah menawan semula bandar strategik Bor daripada pemberontak.
"Tidak dapat dinafikan, kita berdepan dengan angka kematian beribu-ribu orang," kata ketua misi kemanusiaan PBB di Sudan Selatan, Tony Lanzer.
Kenyataan beliau dilihat sebagai petanda jelas bahawa konflik di negara Afrika itu semakin merebak.
Terdahulu, ketua hak asasi manusia PBB, Navi Pillay pula memberitahu, sebuah kubur besar ditemui di bandar Bentiu yang dikuasai pemberontak di samping sekurang-kurangnya dua lagi kubur serupa di sini.
Penemuan mengerikan itu menyusul ketika pertempuran antara tentera yang setia kepada Presiden Salva Kiir dan penyokong bekas Naib Presiden Riek Machar bertambah sengit.
Machar dipecat pada Julai lalu. Setakat ini, angka rasmi kematian di Sudan Selatan kekal 500 orang tetapi beberapa pekerja bantuan berkata, bilangan kematian sebenar adalah jauh lebih besar.
Dalam pada itu, beberapa saksi memberitahu, pelbagai kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah rogol berlaku di negara baharu tersebut.
"Kini terdapat kumpulan yang menyerang orang lain semata-mata kerana perbezaan puak. Ia akan menyebabkan situasi bertambah buruk dan menjadikan negara ini huru-hara," kata Kiir.
Beliau merujuk kepada perbalahan antara etnik Dinka yang menyokongnya dan puak Nuer yang memihak kepada Machar.
Pada minggu lalu, sekumpulan militia bersenjata menyerbu sebuah pangkalan PBB di Akobo dan membunuh dua askar India serta kira-kira 20 etnik Dinka yang berlindung di pos berkenaan.
Pertempuran di Sudan Selatan kini merebak ke separuh daripada 10 buah negerinya dengan beratus-ratus ribu penduduk melarikan diri ke pedalaman manakala sebahagian lagi berlindung di beberapa pangkalan PBB.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Pillay memberitahu agensi berita AFP bahawa seorang pegawai PBB telah melawat sebuah lokasi pembunuhan beramai-ramai di ibu negeri Unity yang kaya dengan minyak, Bentiu.
"Beliau memberitahu bahawa terdapat sekurang-kurangnya 34 mayat di dalam kubur berkenaan," katanya.
Pejuang-pejuang pemberontak juga dilapor melakukan kekejaman di kawasan yang dikuasai mereka.
Lewat kelmarin, Majlis Keselamatan memutuskan untuk menghantar hampir 6,000 askar dan polis tambahan ke Sudan Selatan sekali gus meningkatkan bilangan tentera Misi PBB di Sudan Selatan (UNMISS) kepada sekali ganda iaitu 12,500 askar dan 1,323 anggota polis.
Sudan Selatan yang memperoleh kemerdekaan daripada Sudan pada Julai 2011 kekal negara paling baharu di dunia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2oWiSk0X0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment