BANGKOK 13 Jan. - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan mula melancarkan kempen besar-besaran yang digelar 'Tutup Bangkok' dengan membanjiri lokasi-lokasi penting di ibu negara Thailand hari ini, sebagai usaha berterusan mendesak Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra berundur.
Bantahan secara aman itu menumpukan kawasan utama perniagaan dan persimpangan utama, menyebabkan kebanyakan laluan trafik terhenti ketika penunjuk perasaan berarak sambil meniup wisel dan mengibarkan bendera Thailand.
Kebanyakan sekolah dan sekolah antarabangsa ditutup, manakala penduduk Bangkok mengambil langkah selamat dengan duduk di rumah sepanjang demonstrasi itu diadakan.
Penunjuk perasaan dilihat berkumpul di tujuh persimpangan utama dan meletakkan beg pasir bagi menutup laluan menuju ke Bangkok.
Bagaimanapun, tiada tindakan diambil oleh pihak polis sebagai langkah mengelakkan tercetusnya keganasan antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan.
Dalam perkembangan terbaharu, Yingluck menjemput pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan dan parti politik bagi membincangkan tentang usul Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menunda tarikh pilihan raya yang sepatutnya berlangsung pada 2 Februari ini.
Setiausaha Agung Perdana Menteri, Suranand Vejjajiva berkata, Yingluck mahu usul tersebut dibincangkan bersama pihak terlibat memandangkan masih ada beberapa perkara yang belum jelas.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini mencadangkan agar tarikh pilihan raya diubah kepada 4 Mei ini, walaupun sebarang penangguhan mungkin sukar dilaksanakan di bawah Perlembagaan negara ini.
Sementara itu, satu tinjauan yang dijalankan terhadap bantahan 'Tutup Bangkok' mendapati, sebanyak 38 peratus daripada 1,344 responden mahu penunjuk perasaan menamatkan demonstrasi terbabit dengan cepat dan kembali kepada kehidupan masing-masing.
Kesemua responden diminta menjawab soalan 'Apa hasrat anda untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) yang mahu menutup Bangkok?'.
Kajian oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat dijalankan ke atas penduduk Bangkok dan wilayah berdekatan antara tempoh 9 dan 11 Januari lalu.
Kira-kira 25 peratus responden yang lain mahu semua pihak yang terlibat agar mengadakan rundingan bagi menyelesaikan kemelut politik itu. - AP/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140114/lu_03/Kota-Bangkok-terhenti#ixzz2qX4WwseI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment