Monday, January 13, 2014

Penunjuk perasaan berkumpul


Sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan Thailand mula berkumpul di kota Bangkok bagi menyertai perhimpunan 'menawan Bangkok' esok. - AFP
BANGKOK 12 Jan. - Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand mula berkumpul di Bangkok hari ini, sehari sebelum pelaksanaan rancangan 'menawan' ibu negara ini dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Penunjuk perasaan yang berikrar menghalang Pilihan Raya Umum pada 2 Februari ini, mula membawa keperluan dan peralatan ke lokasi utama perhimpunan ketika mereka bersedia untuk bergerak ke tujuh lokasi utama di Bangkok esok.
''Kami berharap semua akan berubah dengan cara baik esok. Perubahan yang ingin kami lihat adalah kerajaan berhenti menyeleweng atau mereka perlu meletakkan jawatan,'' kata seorang penunjuk perasaan, Komol.
Penunjuk perasaan mahu satu 'majlis rakyat' dilantik untuk menguruskan negara dan memantau perubahan peraturan pilihan raya sebelum pilihan raya umum diadakan.
Ia merupakan kejadian terbaharu dalam ketidakstabilan politik dan keadaan huru-hara yang mencengkam Thailand sejak abang Yingluck, Thaksin Shinawatra digulingkan oleh tentera dalam satu rampasan kuasa tujuh tahun lalu.
Ketua penganjur demonstrasi, Suthep Thaugsuban berkata, beliau menjangka jumlah penyertaan dalam demonstrasi tersebut adalah tinggi.
''Mereka akan datang dari setiap wilayah untuk menyertai rancangan 'tawan' Bangkok esok,'' katanya semalam.
Beliau berkata, mereka akan menghalang jalan utama, menghentikan pegawai kerajaan pergi bekerja dan memotong bekalan elektrik ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sekolah-sekolah ditutup ekoran kebimbangan terhadap keselamatan pelajar, manakala Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menasihatkan rakyatnya di Bangkok menyimpan bekalan makanan, air dan perubatan untuk tempoh dua minggu.
Pihak berkuasa berkata, mereka bersedia melaksanakan perintah darurat jika berlakunya keadaan huru-huru selepas mengerahkan 20,000 anggota polis dan askar supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Sementara itu di NEW YORK, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melancarkan usaha menghalang berlakunya keganasan di Thailand berikutan tindakan 'menawan' Bangkok oleh penunjuk perasaan antikerajaan.
Laman web agensi berita The Nation melaporkan Ki-moon sebagai berkata, beliau menghubungi Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan ketua parti pembangkang, Abhisit Vejjajiva dalam tempoh tiga hari dalam usaha membantu menyelesaikan perbezaan antara mereka.
''Saya menggesa semua yang terlibat supaya tidak mengambil tindakan tergesa-gesa dan mengelak sebarang tindakan kekerasan dan menyelesaikan perbezaan mereka secara aman dan melalui dialog,'' katanya kepada wartawan kelmarin.
Dalam pada itu, ketua tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha menggesa media berhenti membincangkan tentang rampasan kuasa oleh pasukan keselamatan, memberi petunjuk bahawa tentera tidak akan campur tangan dalam demonstrasi 'menawan' Bangkok esok.
''Saya minta wartawan tidak lagi bertanya tentang rampasan kuasa oleh tentera, kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,'' katanya kepada akhbar Bangkok Post.
Beliau mengaku bimbang terhadap kemungkinan berlaku keganasan antara kumpulan berbeza fahaman politik pada demonstrasi itu kelak. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140113/lu_03/Penunjuk-perasaan-berkumpul#ixzz2qSvjVlHD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment