Georgetown: Polis menubuhkan satu pasukan pemantau khas untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam di masjid dan gereja negeri ini, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata pasukan khas yang dianggotai 73 pegawai dan 210 anggota polis itu akan memantau semua aktiviti di masjid dan gereja.
Berikutan itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi supaya segera menghentikan perbuatan mereka.
Pemantauan berterusan dibuat termasuk meningkatkan rondaan unit bermotosikal, unit kereta peronda dan balai polis bergerak” Abdul Rahim Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang
Pemantauan berterusan
“Polis memandang serius isu keselamatan yang berlaku di gereja dan masjid. Pemantauan berterusan dibuat termasuk meningkatkan rondaan unit bermotosikal, unit kereta peronda dan balai polis bergerak,” katanya.
Beliau memberitahu sidang media selepas penyerahan Sijil Kelulusan Polis Bantuan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini semalam.
Abdul Rahim berkata, setakat ini, pihaknya menerima 16 laporan membabitkan isu kain rentang provokasi yang dipasang sekitar negeri ini dan serangan bom petrol di sebuah gereja dekat Lebuh Farquhar di sini, kelmarin.
Beliau berkata, sembilan keterangan sudah diambil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun yang sama.
Tiada tangkapan
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian serangan bom petrol itu akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk mengenal pasti suspek,” katanya.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi kelmarin, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal disyaki melemparkan dua bom petrol ke arah sebuah gereja di Lebuh Farquhar hingga menyebabkan kerosakan kecil.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, berkata pemasangan kain rentang berbaur provokasi dan serangan bom petrol itu tindakan yang harus ditentang.
“Ia tidak mencerminkan ajaran mana-mana agama. Orang ramai perlu menolak provokasi yang cuba dicetuskan itu kerana ia hanya menyemai rasa benci dan melenyapkan keharmonian yang dibina selama ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment