Monday, February 24, 2014

Barangan hadiah kedutaan Britain dilelong


Jam tangan yang dilelong di pejabat FCO di London. - AGENSI
LONDON 23 Feb. - Jam tangan berjenama dan barangan kemas yang dihadiahkan kepada duta dan diplomat Britain merupakan antara barangan yang dilelong oleh Pejabat Luar dan Komanwel British (FCO) kepada orang ramai sejak dua tahun lalu.
The Mail on Sunday melaporkan FCO turut melelong gelang tangan, duit syiling emas, pen berjenama Mont Blanc, tali leher dan telefon bimbit 3G, dengan kesemua barangan tersebut dijual pada harga yang sangat murah.
Sejak menjalankan aktiviti jualan lelong di Rumah Jualan Lelong Fellow di Birmingham dua tahun lalu, FCO sudah menjana pendapatan sebanyak 10,401.66 pound (RM57,232.89) dengan kebanyakan pembeli tidak mengetahui bahawa barangan yang mereka bida merupakan hadiah dari sesebuah negara.
FCO meletakkan harga barangan yang dilelong serendah 18 pound (RM99.04) sehingga ke 800 pound (RM4401.83).
Pengurus Insuran Rumah Jualan Lelong Fellow, Geoff Whitefield berkata, jam tangan Baume et Mercier and Givenchy bernilai antara 2,000 pound dan 3,000 pound (RM11,004.57 dan RM16,506.85) dilelong pada harga satu pertiga daripada harga asalnya.
''Ia bagaikan membeli sebuah kereta baru dan ketika anda memandu kereta tersebut di jalan raya harganya akan mulai menyusut,'' jelas Whitefield.
FCO bagaimanapun, enggan mendedahkan barangan yang mereka lelong itu 'pemberian dari negara mana', namun agensi Kebebasan Maklumat (FOI) memaklumkan bahawa kedutaan negara ini menerima hadiah bernilai puluhan ribu pound dari negara-negara seperti Arab Saudi, Bahrain dan Myanmar.
Menurut FCO, barangan yang sudah diberikan sebagai hadiah itu boleh digunakan buat sementara, sebelum ia dibawa pulang ke United Kingdom (UK).
Namun, jika ada kakitangan yang mahu menyimpan barangan pemberian itu, yang bernilai lebih daripada 140 pound (RM770.32), mereka perlu membayar jumlah tersebut terlebih dahulu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_10/Barangan-hadiah-kedutaan-Britain-dilelong#ixzz2uBlICRBx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment