Monday, February 24, 2014

Rumah agam Presiden Ukraine dipamer


KIEV 23 Feb. - Penduduk Ukraine terkejut melihat kekayaan yang dimiliki Presiden mereka, Viktor Yanukovich yang tinggal di sebuah rumah agam mewah di ibu negara ini, apabila kediaman peribadi Presiden itu dibuka kepada orang ramai, semalam.
Kemewahan harta yang dimiliki Yanukovich didedahkan apabila rumah agam itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kiev dibuka kepada umum, selepas beliau melarikan diri dari ibu negara ini, kelmarin ekoran krisis politik di negara ini.
Rumah agam itu yang dihiasi marmar terletak di atas sebidang tanah seluas 138.8 hektar dan turut mempunyai padang golf peribadi dan zoo.
Yanukovych kini dilaporkan menuju ke bandar Donetsk di timur Ukraine selepas Parlimen memutuskan untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Presiden.
Beribu-ribu rakyat memasuki kawasan kediaman mewah Yanukovych yang ditawan penunjuk perasaan antikerajaan.
Seorang bekas anggota khidmat tentera, Natalia Rudenko berkata, dia berasa terkejut melihat kekayaan yang dimiliki presiden itu.
"Dalam sebuah negara miskin, bagaimana dia boleh memiliki sebegitu banyak kemewahan? Dunia perlu melihat penyelewengan ini dan membawanya ke muka pengadilan," katanya.
Menurut seorang aktivis antikerajaan, kawasan rumah itu cukup besar dan mampu memuatkan semua orang yang datang ke situ, serta memberi amaran supaya tidak pergi ke padang rumput kerana dikuatiri mempunyai periuk api.
Kawasan kediaman presiden itu dijaga oleh pasukan keselamatan beberapa jam sebelum dibuka kepada umum dan dilihat mampu menjadi bukti terhadap kesalahan rasuah yang disyaki dilakukan Presiden itu.
Aktivis antikerajaan kini mengawal kawasan kediaman tersebut untuk memastikan orang ramai tidak memasuki bangunan dan merampas barang-barang yang ada di rumah agam itu.
Menurut laporan rasmi, pendapatan Yanukovych mencecah ASD100,000 (RM330,000) setahun.
Namun, daripada kemewahan yang dimiliki Yanukovych, jelas menunjukkan beliau mempunyai pendapatan lebih daripada itu.
Di pintu masuk ke kawasan kediaman Presiden itu turut diletakkan notis memberitahu orang ramai supaya tidak memusnahkan kawasan yang menjadi bukti keangkuhan Presiden itu.
Para pelawat menyaksikan pelbagai barangan hiasan mewah di dalam rumah agam itu dari luar tingkap kediaman tersebut.
Terdapat beberapa kotak yang bertaburan di rumah agam itu menggambarkan Presiden itu berpindah secara tergesa-gesa dari rumah itu.
Beberapa orang pelawat dilihat mengambil peluang merakamkan koleksi burung pegar yang jarang ditemui dan diimport dari Mongolia dan Sumatera, Indonesia di rumah agam itu.
Mereka juga mengunjungi tasik tasik buatan, landasan helikopter dan sebuah garaj yang menempatkan pelbagai kenderaan tentera Rusia.
Sementara itu, terdapat sebuah kompleks yang dibina untuk kakitangan Presiden berkenaan sebesar rumah mewah di Britain yang kini dibiar kosong. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_02/Rumah-agam-Presiden-Ukraine-dipamer#ixzz2uBl0U29w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment