Minya: Mahkamah Mesir terus menunjukkan kekejamannya semalam dengan menjatuhi hukuman mati ke atas pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan 682 lagi yang terbabit dalam gerakan membantah rampasan kuasa tentera.
Hakim Said Youssef Sabry mempengerusikan prosiding itu yang berlangsung hanya selama 10 minit.
Peguam bela, Khaled Elkomy berkata, penghakiman berkenaan adalah yang pertama ke atas Badie yang juga ulama Ikhwanul Muslimin.
Beliau turut berdepan dengan pelbagai lain yang dikaitkan dengan bantahan mereka terhadap penggulingan Presiden Mohamed Mursi tahun lalu.
Beberapa ahli keluarga tertuduh yang menunggu di luar mahkamah kelihatan pengsan selepas menerima berita hukuman itu.
Sebahagian yang lain melaungkan: “Di mana keadilan?” Seorang daripada waris tertuduh berkata, dia tidak faham bagaimana keputusan itu dibuat. “Anak saya solat (pada hari kejadian) dan langsung tidak tahu di mana masjid tempat dia didakwa terbabit menyertai protes menentang kerajaan,” katanya.
WARIS anggota Ikhwanul Muslimin menangis sebaik diberitahu keputusan hakim.
Seorang lagi wanita berkata, anak lelakinya dihukum penjara seumur hidup. “Tiada bezanya dengan hukuman mati. Ia masih hukuman yang tidak adil kerana dia tidak bersalah,” katanya. Sementara itu di Kaherah, mahkamah mengharamkan Pergerakan 6 April yang bertanggungjawab menggerakkan revolusi mengguling diktator Mesir, Hosni Mubarak pada 2011. Pendakwa berkata, pergerakan itu menyebar fitnah mengenai Mesir dan bersekongkol dengan pihak luar.
Di bawah undang-undang Mesir, hukuman mati akan dirujuk kepada ulama Islam terkemuka sebelum ia disahkan.
Mahkamah boleh memilih untuk meringankan hukuman yang kemudiannya boleh dirayu di mahkamah rayuan.
Antara 683 orang yang dijatuhkan hukuman semalam, hanya 50 yang berada dalam tahanan. - AFP
No comments:
Post a Comment