Tuesday, April 29, 2014

Fasa baharu pencarian MH370



FASA terbaharu pencarian MH370 bakal menyaksikan operasi udara tidak lagi menjadi keutamaan.


PERTH - Operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi akan memasuki fasa baharu yang memberi tumpuan di kawasan dasar laut lebih luas di Lautan Hindi.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, keputusan itu diambil setelah kemungkinan untuk menemui sebarang serpihan pesawat berkenaan di permukaan laut begitu tipis.
Abbott memberitahu, usaha mencari MH370 tidak lagi tertumpu kepada pencarian dari udara dan kapal laut ekoran kegagalan menemui sebarang serpihan pesawat tersebut.
Menurut beliau, fasa baharu itu melibatkan kontraktor yang memiliki kepakaran tinggi dalam pencarian di laut dalam dan akan memakan belanja kira-kira A$60 juta (RM184 juta).
"Malaysia akan terus mengetuai penyiasatan, manakala tanggungjawab terhadap zon mencari dan menyelamat di Australia akan dipikul kerajaan Australia.
"Keseluruhan operasi ini dianggarkan mengambil masa antara enam dan lapan bulan, bergantung pada keadaan cuaca dan kelengkapan yang digunakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ia turut dihadiri Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston di Bangunan Parlimen di Canberra yang disiar secara langsung melalui beberapa saluran televisyen.
Abbott berkata, selain kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 yang menjalankan misi ke-16 semalam, satu lagi teknologi mencari di laut dalam telah dirancang termasuk menggunakan peralatan sonar 'side-scan' yang ditarik oleh kapal.
Menurut beliau, setelah berunding dengan kerajaan Malaysia, kerajaan Australia bersedia menggunakan khidmat syarikat swasta yang akan mengikat kontrak dengan kerajaan Australia bagi menjalankan tugas itu.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan China untuk menggiatkan lagi operasi tetapi kami akan mengambil masa beberapa minggu untuk memuktamadkan perjanjian kontrak ini," katanya.
Operasi mencari memasuki hari ke-52 semalam dengan 41 hari daripadanya diselaraskan kerajaan Australia.
Bagaimanapun, menurut Abbott, hingga kini tiada sebarang bukti berkaitan pesawat itu dijumpai walaupun pencarian dilakukan di kawasan permukaan laut seluas lebih 4.5 juta kilometer persegi dan di kawasan dasar laut seluas 400 kilometer persegi yang melibatkan 334 penerbangan dan 3,000 jam waktu udara. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz30Dr1RTA3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment