|
KETIKA Fernando Schnabl sedang menanti isteri dan anak lelakinya tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis, dia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air France 447 (AF447).
Pesawat jenis Airbus A330 itu dinaiki pasangan anak-beranak tersebut untuk pulang daripada percutian mereka di Brazil.
Fernando bersama anak perempuannya, Celine terlebih dulu tiba di Perancis menerusi pesawat berasingan.
“Kami dalam perjalanan pulang apabila salah seorang anak kapal memberitahu sebuah pesawat yang berlepas dari Rio de Janeiro hilang daripada radar,” cerita Fernando seperti dipetik portal Daily Mail.
Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik menyebabkan 228 penumpang terbunuh.
Turut terkorban ialah isteri Schnabl, Christine dan anak lelakinya, Philipe.
Operasi SAR dilakukan pada keesokan harinya namun harapan untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis meskipun dibantu dengan teknologi paling canggih.
Menurut jurucakap tentera laut Perancis, Hugues du Plessis d’Argentre, kedalaman Lautan Atlantik yang mencecah 3,926 meter (m) membuatkan misi mencari menjadi sukar.
“Kami terpaksa berhadapan dengan laut bergelora, angin kencang dan keadaan laut yang tidak menentu,” katanya.
Selepas 25 hari, pasukan SAR menghentikan operasi mencari setelah gagal menemui kotak hitam pesawat itu.
Bagaimanapun, kotak hitam tersebut ditemui dua tahun kemudian.
Cabaran untuk mengesan kotak hitam AF447 yang terhempas enam tahun lalu itu hampir serupa dengan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Meskipun demikian, ada yang menyifatkan usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu lebih sukar kerana ia hilang secara misteri, tidak seperti AF447 yang diketahui kedudukannya.
Paling menakutkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar pada 24 Mac lalu mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Sejurus selepas berita sedih itu disampaikan, usaha pasukan SAR yang membabitkan 12 negara terus bertumpu ke arah mencari kotak hitam pesawat berkenaan di selatan lautan itu.
Pakar pencari bangkai pesawat dalam laut Amerika Syarikat (AS), David Mearns yang pernah terlibat dalam operasi mencari serpihan AF447 mengakui misi mencari komponen pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak sama seperti yang disertainya di Lautan Atlantik sebelum ini.
“Berbanding Lautan Atlantik yang terletak di antara benua Afrika dan Amerika, Lautan Hindi sangat terpencil dan jarang dilalui kapal-kapal dagang,” kata Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Rizal Arshad.
Maka tidak hairanlah, lautan ketiga terbesar di dunia itu terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean atau Lautan Sepi.
Menurut Rizal, Lautan Hindi mempunyai kedalaman sembilan hingga sepuluh kali ganda berbanding ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420m.
Tambahnya, dengan kedalaman mencecah 4,000m, lautan itu turut mempunyai arus yang kuat selain dasarnya yang gelap dan kerap berubah.
“Di sesetengah kawasan seperti Jurang Jawa, kedalamannya mencecah 7,000m. Jika kotak hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan merencatkan isyarat yang boleh diberikan,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui ahli oseanografi dari Universiti New South Wales di Australia, Erik Van Sebille yang menyifatkan Lautan Hindi sebagai kawasan yang paling menakutkan di muka bumi.
“Secara umum, bahagian selatan Lautan Hindi merupakan kawasan laut paling bergelora. Pada musim sejuk, jika berlaku ribut, anda boleh melihat ombak setinggi 10 hingga 15 meter.
“Cuaca tidak menentu, ombak ganas dan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya walaupun untuk kapal-kapal besar.
“Malah, arus di bahagian itu merupakan antara yang paling deras di dunia,” jelasnya sambil memberitahu, lautan itu juga dikenali dalam kalangan pelaut sebagai ‘Lautan Tebusan’ .
Cuaca buruk
Selain itu, keadaan cuaca dengan angin kencang yang dikenali sebagai Roaring Forties turut menambahkan kesulitan operasi SAR di kawasan tersebut.
Perkataan roaring merujuk kepada tiupan angin barat yang sangat kuat sehingga menyebabkan ribut kencang.
Istilah forties pula merujuk kepada lokasi kedudukan garis lintang selatan yang terletak pada latitud 40 dan 50 darjah di hemisfera selatan.
Bekas penasihat penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu, fenomena alam yang kerap terjadi di kawasan itu berpunca daripada lokasinya yang terletak di zon peralihan antara daerah subtropika yang tenang dengan kawasan pusaran sejuk di sekitar Kutub Selatan.
Menurutnya, kelajuan angin yang mencapai 200 kilometer sejam (kmj) menyebabkan laut bergelora dan ribut kuat di tengah lautan.
“Peralihan musim telah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca yang buruk,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding keselamatan penerbangan, Geoffrey Thomas memberi amaran bahawa keadaan cuaca di lautan yang terletak berdekatan benua Antartika itu semakin buruk apabila tiba musim sejuk.
“Keadaan yang amat sejuk sedang menghampiri. Keadaan laut akan bergelora dengan hujan lebat serta awan rendah.
“Laut akan menjadi seperti sebuah kawah buih dengan warna putih melitupi sebahagian besar permukaan air. Ia sangat berbahaya untuk berada di sana,” katanya
Thomas menambah, keadaan itu merupakan suatu petanda yang tidak menyenangkan.
“Ini adalah permulaan musim sejuk. Keadaan seperti ini adalah kejadian yang berlaku setiap hari di kawasan lautan Hindi. Ia adalah musim sejuk selama lapan bulan pertama untuk tahun ini dan sepanjang tempoh tersebut, lokasi ini adalah tempat paling dahsyat di dunia,” jelasnya.
Thomas mengandaikan usaha mendapatkan semula bangkai pesawat mungkin mengambil masa berbulan-bulan dalam keadaan cuaca sedemikian.
“Sungguh malang jika serpihan pesawat MH370 ditemui di kawasan itu. Ia seolah-olah satu mimpi ngeri,” ujarnya.
Apa pun situasi yang perlu dihadapi, pasukan SAR kian kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Jangka hayat bateri kotak elektronik yang berfungsi merekod data rakaman penerbangan hanya mempunyai masa kurang dari seminggu sahaja lagi untuk dikesan sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan.
Untuk mengesan isyarat tersebut, pasukan SAR menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat AF447.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Towed Pinger Locator akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield.
“Kapal itu akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2xg92q9iX
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment