- Laporan keratan Sinar Harian, semalam.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan saman itu bagi menuntut kerugian dan penipuan yang dilakukan syarikat tersebut kepada pengguna Islam.
"Ini penipuan jahat dan harus dibendung. Bagi kalangan masyarakat Islam ini adalah penghinaan yang amat dahsyat. Tidak sepatutnya keluarkan produk itu,” katanya.
“Setakat ini kami telah menerima 700 e-mel dan SMS daripada rakyat Malaysia yang mahu kami mewakili mereka menyaman Cadbury. Kami akan memfailkan saman ini dan menganggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta,” katanya.
"Proses untuk memfailkan saman itu akan dikendalikan dengan kerjasama daripada Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam)," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, beliau amat marah dengan insiden tersebut kerana beliau sendiri memberikan anaknya coklat tersebut.
"Anak saya pun sudah makan coklat-coklat haram itu. Syarikat ini jelas mempersendakan soal halal di dalam pemakanan orang Islam. Ini adalah penipuan yang sangat jahat yang dilihat sengaja menghina orang Islam.
"Bukan sahaja melibatkan pengguna Islam, malah apa dilakukan syarikat Cadbury itu sengaja menganiayai pekerja beragama Islam," katanya.
Sebelum ini Kementerian Kesihatan dan Jakim mengesahkan dua coklat Cadbury iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mempunyai DNA babi.
Susulan itu, Jakim menarik serta- merta sijil halalnya.
Cadbury turut menarik kedua-dua produk milik syarikatnya di kesemua premis yang menjual coklat tersebut.
Dalam pada itu, Azwanddin turut menyatakan kekesalannya terhadap Jakim dan kementerian yangdidakwa lambat bertindak.
"Jakim dan kementerian tidak boleh memandang ringan iaitu hanya menarik sijil halal, mereka juga perlu memohon maaf atas apa yang berlaku.
"Mungkin pihak mereka perlu disiasat dibimbangi ada unsur rasuah atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Sukaguam Kebangsaan, Ahmad Zuhairi Ahmad Pu'aat berkata, antara notis saman akan difailkan ke atas Cadbury adalah di bawah akta pengguna bagi menebus kerugian.
"Kita boleh gunakan Akta Perlindungan Pengguna di bawah Seksyen 50, hak tebus rugi pengguna terhadap pengilang. Sebenarnya banyak lagi akta pengguna boleh kita gunakan. Buat masa sekarang akta ini nampak lebih kuat," katanya.
No comments:
Post a Comment