NEW DELHI 26 Mei - Narendra Modi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri India yang baharu hari ini, pada majlis yang turut dihadiri oleh rakan sejawat dari Pakistan, Nawaz Sharif, sekali gus menunjukkan petanda positif hubungan kedua-dua negara jiran itu.
Selepas sedekad India dikuasai oleh Parti Kongres yang berhaluan kiri, Modi menjadi tunggak penting untuk memacu India ke arah era baharu sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan ekoran kemenangan besar parti bimbingannya, Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam pilihan raya, baru-baru ini.
"Marilah kita bersama-sama menentukan masa depan yang gemilang untuk India," katanya dalam satu kenyataan di laman web Perdana Menteri sejurus mengangkat sumpah di hadapan Presiden, Pranab Mukherjee.
Turut mengangkat sumpah ialah barisan Kabinet baharu Modi yang terdiri daripada 23 orang menteri, namun portfolio mereka tidak dinyatakan.
Beliau juga berikrar memulihkan semula sektor perkilangan dan pelaburan bagi mewujudkan berjuta-juta peluang pekerjaan kepada rakyat India sebagai janjinya meningkatkan ekonomi negara ini.
Modi turut mengalu-alukan kedatangan Nawaz ke majlis angkat sumpah tersebut sebagai pemimpin Pakistan pertama yang berbuat demikian sejak India merdeka pada 1947.
Pemimpin lain termasuk Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse dan Perdana Menteri Nepal, Sushil Koirala turut hadir pada majlis itu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_05/Modi-angkat-sumpah-PM-India#ixzz32rd2CjPD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment