Thursday, May 1, 2014

Lagi bangunan kerajaan Ukraine ditawan pro-Rusia


Beberapa anggota kumpulan pemisah pro-Rusia berlindung di belakang sebuah kereta bagi mengelakkan sebarang kecederaan dalam satu pertempuran yang berlaku berdekatan ibu pejabat di Luhansk, Ukraine, semalam. - REUTERS
LUHANSK, Ukraine 30 April - Be­ratus-ratus anggota puak pemisah pro-Rusia menawan beberapa bangunan kerajaan di sini, semalam dan menyerang anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan ibu pejabat wilayah berkenaan.
Anggota kumpulan pemisah memasuki ibu pejabat kerajaan di sini yang berdekatan sempadan Rusia serta menaikkan bendera kumpulan di bangunan berkenaan, manakala pihak polis dilaporkan tidak bertindak dalam kejadian itu.
Kira-kira 20 anggota pemisah turut melancarkan serangan menggunakan senjata automatik dan bom tangan di ibu pejabat polis sebagai cubaan memaksa anggota polis menyerahkan senjata mereka.
“Pasukan polis tidak berbuat apa-apa," kata pembantu Menteri Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov.
Puak pemisah juga menawan pejabat pendakwa raya dan stesen televisyen.
Operasi penawanan bangunan kerajaan oleh puak pemisah itu dilihat sebagai langkah bagi menguasai wilayah kedua selepas mereka berjaya menawan Donetsk dan mengisytiharkan pembebasan wilayah itu pada Mac lalu.
Penguasaan kumpulan pemisah pro-Rusia terhadap Luhansk juga dilihat akan memberi akses kepada sumber arang batu yang penting dalam industri berat.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia terus menuduh Moscow sebagai dalang bagi memecah-belahkan Ukraine.
Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam berkata, Rusia dilihat cuba mengubah landskap keselamatan di timur dan tengah Eropah.
“Namun, walau apa pun tindakan Rusia, AS dan sekutu kami tetap akan bersatu mempertahankan Ukraine," katanya.
Presiden Rusia, Vladimir Putin pula menjawab sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negaranya bakal memberi kesan buruk terhadap penyertaan Barat dalam run­dingan sektor tenaga. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_13/Lagi-bangunan-kerajaan-Ukraine-ditawan-pro-Rusia#ixzz30PaOsSIS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment