Sebuah bas melalui hadapan bangunan Parlimen Pakistan, kelmarin. - Foto AFP |
Pakistan berdepan dengan pemotongan bekalan elektrik, sebahagiannya disebabkan penduduk yang tidak membayar bil dengan pejabat kerajaan antara paling kerap berbuat demikian.
Rakyat bergelut dengan ketiadaan elektrik selama 12 hingga 18 jam sehari dalam musim panas, tetapi hingga kini tidak banyak tindakan diambil terhadap birokrat degil yang bekerja di pejabat dilengkapi pendingin hawa.
Potong bekalan elektrik
Menteri Air dan Elektrik, Abid Sher Ali, mengumumkan tindakan mengutip bil yang tidak dijelaskan dan memberi amaran bekalan elektrik ke semua pejabat dan pelanggan yang gagal berbuat demikian akan dipotong.
“Saya mengeluarkan arahan bekalan elektrik ke Parlimen dan Sekretariat Presiden dipotong segera kerana kegagalan membayar bil berjumlah jutaan rupee,” katanya.
Pihak Berkuasa Pembangunan Capital, agensi sivik Islamabad yang bertanggungjawab membayar bil pejabat kerajaan, berhutang 2.36 bilion rupee (RM78 juta) dengan Syarikat Bekalan Elektrik Islamabad (IESCO).
Sekretariat Presiden, iaitu kediaman dan pejabat ketua negara, berhutang sebanyak 28 juta rupee (RM929,000), manakala blok kediaman ahli perundangan, Parlimen Lodge, perlu membayar sebanyak 20 juta rupee (RM662,000) kepada syarikat berkenaan.
Pegawai IESCO berkata, bekalan elektrik kepada lebih 100 pejabat kerajaan dipotong kerana bil yang tertunggak.
Usaha menyelesaikan krisis bekalan elektrik Pakistan adalah ikrar kempen Perdana Menteri Nawaz Sharif pada pilihan raya umum 2013.
Namun potongan bekalan elektrik setiap hari, dikenali sebagai pengurangan bebanan, sudah bermula tahun ini, walaupun masih ada sebulan lagi sebelum kemuncak musim panas, apabila suhu di sesetengah tempat melepasi 50 darjah Celsius. - AGENSI
No comments:
Post a Comment