Thursday, May 1, 2014

Puak pemisah Filipina bertempur dengan tentera

Puak pemisah Filipina bertempur dengan tentera
 Tentera meningkatkan kawalan dan melancarkan serangan dari segenap penjuru, semalam. 
1 Mei 2014ZAMBOANGA - FILIPINA. Sebanyak 14 puak pemisah dan seorang askar Filipina maut dalam serangan udara dan darat dilancarkan pasukan keselamatan negara itu, kelmarin.

Jurucakap tentera, Ryan Lacuesta berkata, pertempuran bermula selepas tentera laut dapat menawan kubu kumpulan Abu Sayyaf yang merupakan sayap kuat kumpulan Al-Qaeda di kepulauan Jolo.

“Kami menggunakan helikopter MG-520 dan serangan meriam bagi memusnahkan kubu mereka hingga menyebabkan kira-kira 15 maut. Pertempuran itu diteruskan sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Isnin lalu, tentera menawan kem Abu Sayyaf di pinggir bandar Patikul, kira-kira 950 kilometer dari selatan Manila yang merupakan sebuah kubu kuat kumpulan terbabit.

Selepas ditawan, kumpulan puak pemisah itu cuba menawan kembali kem mereka dengan bertindak menyerang tentera menggunakan bom mortar dan senapang M203.

"Mereka cuba menumpaskan pasukan tentera, tetapi kami mempunyai sokongan kuat daripada tentera darat dan udara. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 19 askar cedera dalam insiden tersebut akibat terkena serpihan bom," katanya.

Difahamkan, laporan dipetik dari AFP, kem itu juga digunakan untuk melatih militan baharu Abu Sayyaf selain sebagai tempat operasi asas mereka.

Pertempuran terbaharu itu tercetus beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melawat Manila dalam lawatannya di Asia.

No comments:

Post a Comment