BEIJING 30 April - Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan ke wilayah Xinjiang buat kali pertama hari ini dalam usaha untuk mengeratkan hubungan dengan kumpulan minoriti negara ini dan mempertingkatkan kawalan keselamatan.
Wilayah yang diduduki kumpulan etnik Islam Uighur itu sebelum ini sering menjadi lokasi pertempuran antara pihak berkuasa dan penduduk etnik berkenaan yang disifatkan sebagai penindasan budaya oleh kumpulan hak asasi manusia.
Langkah terbaik perlu dilaksanakan bagi menangani keganasan dan jenayah dalam memelihara keamanan wilayah ini," katanya yang dipetik agensi berita, Xinhua.
Jinping sempat melawat sebuah rumah di bandar Kashgar dan beramah mesra dengan penduduk sambil disajikan makanan tradisional oleh sebuah keluarga tempatan.
Menurut Jinping, pihak berkuasa perlu memberi perhatian utama terhadap keadaan di Kashgar bagi memulihkan keadaannya yang disifatkan kini sulit dan suram.
Selain itu, Jinping turut melawat sebuah sekolah rendah dan menyeru supaya guru-guru mengajar murid-murid bahasa kebangsaan.
Pembelajaran bahasa Mandarin bukan sahaja memudahkan anak-anak mendapatkan pekerjaan, malah hal itu juga mampu mempromosikan penyatuan etnik," katanya yang turut menggalakkan guru-guru mendalami bahasa etnik Uighur.
Lawatan Jinping itu disifatkan sebagai langkah menggalakkan penduduk China di luar wilayah Xinjiang untuk datang ke kawasan itu tanpa perlu berasa takut dengan sebarang kejadian ganas, menurut akhbar Global Times.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_07/Xi-Jinping-kunjungi-Xinjiang-pertama-kali#ixzz30PZQ1Ria
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment