SYDNEY - Pihak berkuasa Australia semalam menolak dakwaan sebuah syarikat penerokaan marin yang mendakwa elemen kimia yang dijumpai di Teluk Benggala mungkin berasal dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang pada 8 Mac lalu.
Stesen televisyen 7News sebelum ini melaporkan syarikat GeoResonance mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat di satu lokasi di Teluk Benggala yang terletak kira-kira 5,000 kilometer dari kawasan pencarian ketika ini.
Jurucakap Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) berkata, pihaknya menggunakan maklumat dari satelit dan data-data lain bagi mengenal pasti lokasi pesawat ini.
"Lokasi yang didakwa GeoResonance tidak berada di zon pencarian Australia dan zon menyelamat.
"Pihak Australia mengetuai misi mencari berdasarkan maklumat dari satelit dan data-data lain untuk menentukan lokasi pesawat MH370 yang hilang.
"Lokasi yang diperincikan dalam laporan GeoResonance tidak berada dalam koridor pencarian," katanya.
Dalam pada itu, operasi mencari serpihan pesawat MH370 melalui udara berakhir semalam manakala beberapa kapal yang menyertai misi berkenaan mula meninggalkan Lautan Hindi.
Operasi mencari serpihan secara visual itu dihentikan selepas pihak berkuasa Australia kini memutuskan untuk memfokuskan carian di dasar laut bagi mengesan pesawat berkenaan.
Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang semasa membawa 227 penumpang dan 12 kru ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Berdasarkan analisis radar tentera, pesawat itu berpatah balik dan dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz30Pe8Z2xm
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment