• Hishammuddin memakaikan pingat kepada pesara tentera.Hishammuddin memakaikan pingat kepada pesara tentera.

KLUANG - Naib Presiden Umno,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan laporan mengatakan dirinya bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) sesuatu tindakan nakal dan tidak bertanggungjawab yang bertujuan melaga-lagakan pemimpin Umno.

Beliau berkata, kisah mengenai status jawatannya telah dipertikai beberapa bulan lalu.

"Ada yang mendakwa saya tidak layak menjawat jawatan Naib Presiden Umno dan menteri, tetapi kini timbul pula spekulasi saya bakal menggantikan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Jelasnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu tiada asas dan beliau telah melalui senario politik begitu lama.

“Saya mahu nasihatkan semua pihak jangan ikut rentak mereka, kita dalam parti rapatkan barisan dan beri sokongan padu kepada presiden dan naib presiden parti, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Mereka ini hanya mahu melaga-lagakan pemimpin supaya parti kita lemah. Saya tengok PM dan TPM, saya cukup hormat dan puas hati, janganlah ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan.

“Ini pertama kali saya buat komen tentang spekulasi yang berlaku, sebab beberapa bulan lalu berbeza saya dikatakan tidak layak jadi menteri dan naib presiden Umno,” katanya selepas Majlis ‘1Veteran 1Malaysia: Jasamu sentiasa dikenang dan dihargai’ peringkat Johor di Hotel Prime City, semalam.

Minggu lalu, sebuah blog pro-kerajaan menyiarkan spekulasi bahawa Hishamuddin akan menggantikan Muhyiddin.

Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.

Namun, Khamis lalu, Muhyiddin menafikan beliau akan meletakkan jawatan sebagai TPM dalam masa terdekat.

Katanya, beliau tidak pernah membincangkan isu itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.