Monday, June 23, 2014

Media Sri Lanka kritik polis


2014/06/23 - 04:58:39

Colombo: Media Sri Lanka semalam menunjukkan penyatuan yang jarang berlaku apabila membidas polis atas kegagalan mengawal pelampau Buddha anti Islam berikutan ketegangan agama yang meningkat selepas rusuhan di selatan pulau itu.

Sehari selepas sebuah kedai milik penduduk Islam dibakar di luar ibu negara Colombo, akhbar mingguan The Nation mengambil langkah luar biasa menyiarkan lidah pengarangnya sebagai berita utama di muka depan dengan tajuk: “Ketua Polis perlu letak jawatan.”

Media lain turut serta mengkritik polis berikutan kegagalan mereka mengambil tindakan terhadap kumpulan Buddha dikenali sebagai Bodu Bala Sena (BBS atau Askar Buddha) yang dipersalahkan berikutan rusuhan terbabit.

Mereka menuding jari terhadap kumpulan pelampau kerana rusuhan anti-Islam yang tercetus seminggu lalu menyebabkan empat maut, 80 cedera dan beratus-ratus rumah dan kedai musnah.

“Tahan beliau,” kata akhbar Sunday Leader menerusi tajuk utamanya, merujuk kepada ketua BBS, Galagodaatte Gnanasara, yang secara umum menafikan menjadi punca kepada masalah berkenaan.

Sunday Times pula berkata kebakaran sebuah kedai pakaian milik seorang Islam di Colombo kelmarin ‘satu petunjuk bahawa sebilangan penduduk mahukan keganasan ini tersebar.”

Polis Sri Lanka menyiasat punca kebakaran, di mana Menteri Kehakiman, Rauf Hakeem yang juga anggotai beragama Islam paling kanan dalam Kabinet Presiden Mahinda Rajapakse itu memutuskan ia sebagai satu kebakaran yang disengajakan.

No comments:

Post a Comment