Monday, June 16, 2014

‘Jangan terkejut ada mayat terapung’


Manila: Gagal menahan marahnya, Timbalan Datuk Bandar Manila semalam memberi amaran untuk mengambil langkah luar biasa bagi menangani masalah pesalah lalu lintas.

Kata Francisco Domagoso, orang ramai diingatkan jangan terkejut apabila suatu ketika nanti ada mayat terapung di sungai sekitar Manila.

Domagoso ditemubual juruhebah radio, Vic de Leon Lima dan David Oro mengenai langkah diambil kerajaan tempatan pimpinan Datuk Bandar Joseph Estrada untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas akibat sikap pengguna meninggalkan kenderaan masing-masing sesuka hati di pusat bandar Manila.

Kata Domagoso, dia dan Estrada melakukan apa yang termampu mengurangkan masalah berkenaan.

“Kadang-kadang penguat kuasa tidak mampu bertindak,” katanya.

Walaupun tidak menjelaskan maksud kenyataan itu, Domagoso membayangkan berlaku amalan rasuah atau campur tangan individu berpengaruh ke atas penguat kuasa.



Malah, katanya, kadang-kadang pesalah trafik adalah anggota polis sendiri, termasuk berpangkat tinggi.

“Seorang kapten polis berkali-kali ditahan kerana meletak kenderaan di tempat tidak sepatutnya namun tidak pernah didenda.

“Justeru, andai suatu hari nanti anda melihat ada mayat terapung di sungai atau jalan raya, anda jangan terkejut,” katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

No comments:

Post a Comment