|
MALANG, Indonesia - Beberapa buah klinik di sini menawarkan skim pemeriksaan kesihatan dan ubat untuk ditukarkan dengan sampah sarap yang dikutip oleh penduduk miskin.
Skim rawatan unik itu diasaskan oleh seorang pemuda berusia 24 tahun, Gamal Albinsaid.
Setakat ini, terdapat lima klinik termasuk Klinik Bumi Ayu yang beroperasi di bandar ini, Pulau Jawa.
Orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan percuma di rangkaian klinik itu perlu membawa sejumlah sampah yang dikitar semula sekali seminggu untuk diserahkan pada setiap Sabtu.
Mereka perlu mengutip sampah bernilai 10,000 rupiah (RM2.90) pada setiap bulan untuk layak menyertai skim tersebut.
Setiap ahlinya boleh mendapatkan dua rawatan percuma pada setiap bulan.
Seorang lelaki berusia 60 tahun yang menghidap sakit sendi, Mahmud merupakan pengunjung tetap klinik tersebut.
Dia akan membawa beg-beg plastik berisi kadbod, botol plastik dan sampah sarap lain ke klinik itu beberapa kali sebulan untuk ditukarkan dengan rawatan kesihatan yang tidak mampu untuk dia membiayainya.
"Saya tahu saya boleh menyimpan dan menjual sampah saya di sini," kata Mahmud.
"Pada mulanya, saya membuang sampah ke jalanan tetapi kini saya sedar bahawa sampah juga berguna," tambahnya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz34kyOoi2m
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment