Monday, June 30, 2014

Prof Redzuan mangsa penguasa angkuh - Anwar

HARAKAHDAILY |
 KUALA LUMPUR: Berita pemecatan serta merta Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan (gambar) sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) tidak mengejutkan tetapi tetap mengecewakan dan tidak wajar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata untuk mempertahankan kepentingan Umno.

"Dalam pentadbiran yang rakus ini, kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atau mereka yang kritikal terhadap Umno BN," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penghukuman yang cukup pantas ini akan menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno apatah lagi yang memihak kepada pembangkang.

Beliau berkata, nasib yang sama juga telah menimpa pakar ekonomi terkenal Prof Jomo KS, profesor sains politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang Dr Aziz Bari tidak lama dahulu.

"Dan hari ini kita lihat ia menimpa Prof Redzuan yang telah terbukti menunjukkan prestasi akademik dengan profesional dalam bidang penyelidikan yang menuntut objektiviti lengkap dan kebebasan," ujarnya lagi.

Ketua Umum PKR itu menambah, amat jelas bahawa keputusan untuk tidak menyambung tempoh Profesor Redzuan sebagai Pengarah UMCedel amat tidak wajar.

"Beliau sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani," katanya.

Sehubungan itu, beliau ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak dan tindakan terbaru itu bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi. - HARAKAHDAILY 30/6/2014

No comments:

Post a Comment