Di mata Anna, Jokowi adalah seorang wira dan idola yang kukuh bertakhta di hatinya.
Nenek yang mempunyai enam anak itu berkata, dia mula jatuh hati kepada Jokowi sejak 2012.
Ia adalah detik ketika Jokowi memenangi pemilihan Gabenor Jakarta.
Ditanya apa yang menambat hatinya terhadap Jokowi, Anna, 78, berkata dia tertarik dengan sikap kesederhanaan antara lain melalui penampilan bakal presiden ketujuh Indonesia itu berkemeja putih dan berseluar hitam.
Disebabkan itu juga Anna bersimpati apabila pelbagai tuduhan dan negatif dilemparkan terhadap pemimpin kesayangannya itu.
JOKOWI diisytiharkan presiden baru Indonesia, Selasa lalu.
Kesedihan itu semakin mendalam ketika proses pengiraan undi pilihan raya presiden lalu.
Kata anak Anna, Fransisca Helmaria, 54, ibunya tidak berganjak dari depan televisyen dan sanggup mengikuti sepenuhnya proses itu pada 22 Julai lalu.
“Mama tidak berhenti berdoa dan sangat risau jika Jokowi kalah,” katanya.
Keuzuran tidak menghalang Anna daripada berdiri di depan televisyen dari saat proses pengiraan bermula sekitar jam 11 pagi sehinggalah wiranya itu diisytihar sebagai pemenang pada jam 10 malam.
“Sesekali memang mama duduk, namun tumpuannya tidak lari dan dia tidak henti-henti mendoakan Jokowi menang,” katanya.
Disebabkan bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, Fransisca berkata, dia berulang kali menenangkan ibunya sehinggalah Jokowi diisytiharkan secara rasmi memenangi pemilihan berkenaan. Sebaik mendengar berita gembira itu, Anna yang berlinangan air mata berkata: “Akhirnya pacar mama menang!” Nyata Fransisca lega dengan kegembiraan ibunya kerana sebelum ini Anna pernah menerima rawatan di hospital akibat pengsan kerana tertekan.
Anna juga mengalami sakit kerana Jokowi diserang pihak lawan dengan pelbagai tuduhan negatif. “Paling menyakitkan hati mama apabila Jokowi didakwa komunis dan bukan beragama Islam.
“Memang kami Kristian, tetapi kami semua sakit hati ketika mendengar fitnah yang mendakwa Jokowi bukan Muslim,” katanya.
Kerana terlalu tertekan Anna dirawat lebih enam hari di hospital. Kata Fransisca doktor mendapati Anna mengalami tekanan akibat terlalu memikirkan hal buruk menimpa Jokowi.
Kini, keadaan Anna pulih dan dibenarkan pulang. Senyuman juga tidak lekang dari bibirnya selepas Jokowi menang. - Agensi
No comments:
Post a Comment