• Lolanopita bersama Hanif ketika hadir ke mahkamah.Lolanopita bersama Hanif ketika hadir ke mahkamah.

SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan sebutan semula kes ibu remaja orang kurang upaya (OKU)  yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai Jun lalu pada 3 September depan.

Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan itu selepas peguam Lolanopita iaitu Hanif Hassan memohon satu tarikh lain bagi mengemukakan baki dokumen representasi kepada pihak pendakwaan.

Malah, hakim turut menetapkan 5 dan 6 November depan sebagai tarikh perbicaraan bagi dua pertuduhan disabitkan terhadap Lolanopita iaitu mengabai dan meninggalkan anaknya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, tanpa pengawasan.

Lolanopita  sebelum itu kelihatan hadir ke mahkamah  memakai baju kurung dan bertudung biru kira-kira jam 9.15  pagi.

Sementara itu Hanif ketika ditemui berkata, dia membuat permohonan tarikh baru berkenaan  bagi tujuan penyerahan baki dokumen representasi kepada pihak pendakwaan.

“Saya bercadang untuk menghantar anak guam saya mendapatkan khidmat kaunseling dan jika perlu saya akan dapatkan khidmat psikiatri bagi tujuan representasi,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan hak perintah sementara diberi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menempatkan Firdaus di rumah kebajikan di Taman Sinar Harapan, Tuanku Ampuan Najihah di sini.

Difahamkan hak penjagaan itu bermula semalam hingga 20 Ogos depan.