JAKARTA - Calon Presiden Indonesia, Joko 'Jokowi' Widodo mengaku memenangi pilihan raya Presiden yang berlangsung semalam.
Bagaimanapun, seorang lagi calon Presiden yang juga pesaing Jokowi, Prabowo Subianto enggan mengaku kalah dengan menyatakan proses pengiraan undi masih berlangsung.
Jokowi membuat pengisytiharan menang itu selepas agensi-agensi pengiraan menunjukkan beliau menang dengan 53 peratus undi manakala Prabowo memperoleh 47 peratus undi.
"Joko Widodo (Jokowi) boleh diisytiharkan sebagai Presiden Indonesia dari tahun 2014 hingga 2019," kata Ketua Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri yang meletakkan Jokowi sebagai calon Presiden Indonesia.
Pengiraan itu dibuat berdasarkan 90 peratus undi yang telah dikira.
"Kami mengucapkan terima kasih kerana Jokowi dan Jusuf Kalla (calon Naib Presiden) telah menang berdasarkan pengumuman pengiraan undi cepat," kata Jokowi.
"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Indonesia termasuk anggota-anggota parti yang bekerja keras dari waktu pagi sehingga malam," tambah Jokowi.
Dalam pada itu, bekas jeneral, Prabowo Subianto turut membuat pengisytiharan kemenangan selepas Jokowi yang merupakan Gabenor Jakarta membuat pengumuman tentang kemenangannya.
Menurut Prabowo, regu Naib Presidennya, Hatta Rajasa telah menerima sokongan dan mandat daripada penduduk Indonesia.
Menurutnya, institut-institut tinjauan pengiraan yang digunakan parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) menunjukkan mereka telah memenangi pilihan raya.
Naib Pengerusi Gerindra, Fadli Zon memberitahu agensi berita Reuters, keputusan muktamad pemenang pilihan raya itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 22 Julai ini.
Sekitar 190 juta pengundi keluar membuang undi pada pilihan raya Presiden di Indonesia.
Indonesia yang mempunyai kira-kira 240 juta penduduk merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.
Pilihan raya Presiden semalam pula adalah yang ketiga diadakan sejak bekas Presiden, Suharto meletak jawatan selepas memerintah Indonesia selama 30 tahun.
Sebelum ini, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dilarang bertanding semula berdasarkan perlembagaan negara selepas beliau memerintah selama dua penggal.
Dalam pada itu, Jokowi, 53, dikenali sebagai seorang lelaki yang lemah lembut ketika berucap selain gemar memakai kasut kanvas, baju kasual serta mendengar muzik heavy metal.
Beliau juga popular dalam kalangan penduduk miskin kerana kerap melawat kawasan setinggan di sini untuk mendengar masalah mereka.
Subianto, 62, yang merupakan menantu Suharto, terkenal sebagai seorang pemimpin yang lantang ketika berpidato dan gemar memiliki kereta mewah.
Beliau memiliki sokongan kebanyakan parti Islam yang radikal tetapi mencetuskan kegusaran dalam kalangan pelabur asing berhubung dasarnya yang autoritatif.
"Ramai penduduk Islam Indonesia memilih Prabowo kerana beliau tegas dan dinamik, sekali gus dilihat mampu menangani dasar luar negara-negara jiran serta Amerika Syarikat," kata seorang penganalisis politik Indonesia, Ikrar Nusabhakti.
"Sebahagian lagi penduduk sukakan Jokowi kerana sifatnya yang merendah diri dan penyayang," tambahnya.
Pilihan raya Presiden ketiga itu menyaksikan pusat mengundi dibuka seawal pukul 7 pagi di tiga zon masa berbeza di Indonesia.
Pengundi di wilayah paling timur, Papua merupakan yang pertama membuang undi.
"Saya mengundi Jokowi," kata seorang wanita berusia 29 tahun, Shinta Marlina di sebuah pusat mengundi di Jakarta Tengah di sini.
"Kini masanya sudah tiba untuk kami memiliki seorang Presiden daripada kalangan kami (bukan golongan elit)," tambahnya yang merujuk kepada kesederhanaan Jokowi.
Kertas-kertas undi pula diangkut menggunakan pelbagai kenderaan bermotor seperti bot dan kuda.
Lebih 350,000 anggota polis dan 23,000 askar telah dikerahkan untuk mengawal keselamatan sepanjang proses mengundi berjalan. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0710&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz371238XO4
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment