Wednesday, July 2, 2014

Prabowo akan jadi Presiden - Ahmad Dhani


DI Indonesia, nama seniman Ahmad Dhani tidak pernah lekang dihimpit dengan kontroversi. Sama ada mengenai kisah peribadinya mahupun yang menyentuh kerjaya seninya. Terbaru, dia dikecam hebat kerana berpakaian seragam tentera Nazi, Jerman.
Ahmad Dhani berpakaian demikian dalam klip video lagu saduran We Will Rock You (lagu asal nyanyian kumpulan Queen) yang dihasilkan sebagai menyokong calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Tindakan tersebut mengundang padah kepada Ahmad Dhani sehingga liputan mengenai kontroversi itu turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Stesen televisyen, BeritaSatu berpeluang mewawancara Ahmad Dhani dan petikan wawancara itu dimuatkan dalam akhbar Jakarta Globe hari ini yang mana seniman itu mengulas klip video itu dan kenapa dia memilih menyokong Prabowo berbanding pencabarnya, Joko Widodo (Jokowi) .
Berikut petikan wawancara itu:
BeritaSatu: Apa yang ada di fikiran anda pada saat ini?
Ahmad Dhani: Saya masih bingung dengan tindakan media asing (mensensasikan isu klip video). Pada saya media asing saling tidak ubah seperti wartawan palsu. Wartawan ini tidak menghormati etika kewartawanan. Saya fikir, wartawan Indonesia lebih baik.
Tidak ada siasatan dibuat, tiada pengesahan dengan saya juga dilakukan. Saya fikir, kemungkinan besar ini adalah kempen berunsur serangan peribadi. Saya diyakinkan bahawa kontroversi ini adalah kempen yang tidak hanya melibatkan saya tetapi calon presiden, Prabowo Subianto.
Apa tindakan seterusnya? Apakah anda atau parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) mempunyai sebarang rancangan untuk menyelesaikan kontroversi ini?
Pada saya, ini adalah hal peribadi antara saya dengan sebuah majalah (asing). Klip video We Will Rock You bukan video rasmi kempen politik Prabowo .
Bagaimana dengan pakaian seragam Nazi? Tidakkah anda bimbang seolah membuka kembali luka lama?
Membuka luka lama? Inilah versi kewartawanan palsu. Realitinya, kebanyakan orang Jerman sendiri tidak peduli mengenai simbol (Nazi) itu. Rakan-rakan dan keluarga saya di Jerman juga tidak mengambil peduli perkara.
Ada sesuatu juga yang anda perlu tahu, bahawa Hitler sudah menjadi bahan ketawa. Di Indonesia sendiri sudah terlalu banyak klip video parodi dihasilkan yang menjadikan Hitler sebagai alat ketawa. Jadi, tidak ada apa yang serius mengenai Hitler dan Nazi di Indonesia.
Apa yang anda fikirkan ketika mengenakan pakaian seragam Nazi?
Saya pernah memakai pakaian seragam yang sama dalam klip video 'Immortal Love Song.' Tidak ada siapa yang peduli mengenainya. Tetapi kenapa ketika saya menyokong Prabowo, ia menjadi isu? Kerana itu saya percaya ia ditujukan pada Prabowo.
Kenapa anda menyokong Prabowo? Kenapa bukan Jokowi?
Saya mengenali Jokowi dan Prabowo secara peribadi. Artis lain yang menyokong Jokowi secara umumnya tidak mengenali beliau. Secara peribadi, saya menggemari Prabowo kerana beliau memiliki karakter yang menarik. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140702/lu_08/Prabowo-akan-jadi-Presiden---Ahmad-Dhani#ixzz36Fy7lEsC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment