SHAH ALAM – Aduan terhadap dua Adun Pas yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam proses untuk dihantar ke Pas Pusat.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, sebahagian aduan sudah dihantar kepada Pas Pusat namun ada beberapa pihak yang masih belum berbuat demikian.

“...dan sekarang ini aduan dari kawasan dan dewan(dewan pemuda negeri) mula dihantar ke Pusat,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, selepas kesemua laporan yang lengkap diterima, Pas Pusat bakal membuat keputusan ke atas perkara itu.

Namun ketika ditanya jangkaan keputusan itu dibuat, beliau memilih untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Pas Pusat.

“Selepas semua diterima, Pas Pusat akan beri keputusan. (Jangkaan) Yang itu kita serahkan kepada Pas Pusat,” katanya.

Sebelum ini Wan Azizah menerima sokongan daripada 15 Adun DAP, 13 PKR dan dua Adun Pas, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) hadir memberikan sokongan kepada presiden PKR itu sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat bersidang.

Sementara itu, dalam sidang media pagi ini, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Pas Selangor sebelum mengambil sebarang tindakan.