KUALA LUMPUR - Pas mempertahankan keputusannya untuk menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai seorang lagi calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Sultan Selangor untuk pertimbangan lanjut.
"Itu terpulang kepada Sultan.. termasuk dua-dua calon yang Pas kemukakan sebelum ini...,".

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada hari ini bersetuju untuk menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dalam menentukan jawatan Menteri Besar Selangor," katanya pada sidang medianya, sebentar tadi.

Pada 17 Ogos lalu, mesyuarat Pas Pusat memutuskan untuk kekal dalam PR dan bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Parti itu turut menyerahkan nama Mohamed Azmin sebagai calon kedua untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Mustafa menegaskan isu surat sokongan 13 Adun Pas Selangor tidak berbangkit dalam mesyuarat jawatankuasa parti itu pagi tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, kemungkinan tiada keperluan untuk wakil rakyatnya di Selangor untuk berbuat demikian.

"Memang perkara itu ada disuarakan dalam mesyuarat tadi namun perkara itu tidak berbangkit.

"Mungkin Pas tidak perlu pun untuk menyerahkan surat sokongan itu," ujarnya lagi.

Sebelum ini Wan Azizah menerima sokongan daripada 15 Adun DAP, 13 PKR dan dua Adun Pas, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) hadir memberikan sokongan kepada presiden PKR itu.

Ketika ditanya tentang nasib dua Adun Pas tersebut, Mustafa berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Pas Selangor sebelum sebarang tindakan diambil.

"Saya sudah minta Pas Selangor serahkan laporan tentang dua Adun itu tapi belum terima lagi sebab mereka hendak beri laporan yang lengkap," katanya lagi.