Sunday, August 17, 2014

Kerajaan negeri Selangor masih sah


KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih sah mengikut undang-undang setelah mendapat mandat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pakar pentadbiran awam, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, ini berdasarkan hasil pertemuan Khalid dengan Sultan Selangor baru-baru ini yang menyatakan baginda berpuas hati dengan penjelasan Khalid dan menerima perkenan baginda untuk beliau terus memegang jawatan Menteri Besar itu.
“Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada beliau untuk terus menjadi Menteri Besar. Jadi tiada apa-apa perubahan dari segi itu.
“Sebarang perubahan tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor. Selagi tiada undi tidak percaya dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Khalid masih Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kelmarin, sebuah portal melaporkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran mendakwa pentadbiran Khalid tidak sah setelah kehilangan majoriti sokongan ahli DUN.
Beliau memetik Perkara 53 (6), Perlembagaan Negeri yang menyatakan setelah kehilangan keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang Menteri Besar hendaklah meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Ahmad Atory memberitahu, kenyataan Surendran itu seolah-olah meremehkan kuasa Sultan yang dilihat lebih kecil berbanding perlembagaan negeri.
“Pandangan beliau mungkin rasional sekiranya Khalid belum mendapat perkenan Sultan untuk kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar.
“Bagaimanapun, apabila beliau mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Sultan, ia umpama tidak menghormati perlembagaan yang sedia ada,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3AbHlkYTu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment