Jumaat, 15 Ogos 2014 @ 11:35 AM
LOS ANGELES: Pelakon Hollywood, Robin Williams, yang ditemui mati minggu ini selepas dikatakan membunuh diri, dilapor mengalami kemurungan dan menghidap penyakit Parkinson tahap awal, demikian menurut isterinya.
Mayat Williams ditemui oleh pembantu peribadinya dengan menggantung dirinya menggunakan tali pinggang di bilik tidur kediamannya di California, Isnin lalu dan insiden itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pelakon komedi itu masih tidak dapat menangani masalah penagihan.
Namun isterinya, Susan Schneider, mengeluarkan kenyataan menerusi ejennya hari ini berkata, suaminya berusia 63 tahun itu kebelakangan ini mengalami masalah kesihatan mental dan kecelaruan awal akibat Parkinson.
"Ketika Robin bergelumang dengan masalah kemurungan dan penyakit Parkinson tahap awal, dia masih tabah walaupun ketika itu dia belum bersedia untuk berkongsi keadaannya dengan masyarakat umum," kata kenyataan itu.
Koroner Marin County dari San Francisco kini sudah membuka inkuiri mengenai kematian Williams namun mengesahkannya ia disyaki akibat membunuh diri.
"Robin terlalu banyak menghabiskan kehidupannya membantu orang lain," kata Schneider.
"Meskipun dia menghiburkan orang ramai di atas pentas, filem atau di kaca televisyen atau kepada askar di perbatasan atau kanak-kanak yang sakit - Robin hanya mahukan kita ketawa dan kurangkan ketakutan dalam diri.
"Legasi hebatnya selain bersama tiga anak ialah dia sentiasa seronok dan mahu menggembirakan orang lain terutama kepada mereka yang bergelut dengan masalah peribadi, " katanya. - AP
No comments:
Post a Comment