Saturday, August 2, 2014

Pakar-pakar mula lakukan siasatan



ANGGOTA-ANGGOTA pakar antarabangsa berjalan melintasi serpihan pesawat MH17.


KIEV - Kumpulan pakar antarabangsa memulakan tugas siasatan di tapak nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di timur Ukraine semalam walaupun beberapa pertempuran terbaharu tercetus antara tentera kerajaan dan pemberontak di lokasi berhampiran.
Kumpulan itu merupakan yang paling ramai tiba di lokasi nahas sejak pesawat MH17 terhempas di wilayah yang dikuasai pemberontak pada 17 Julai lalu dan menyebabkan semua 298 penumpang maut.
Selama beberapa hari, laluan darat ke lokasi nahas terlalu bahaya untuk digunakan kerana pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak sekali gus menyebabkan usaha untuk mencari baki mayat mangsa dan untuk meneruskan siasatan tergendala.
Tentera Ukraine berkata, seramai 10 askar payung terjun negara itu terbunuh dalam satu serangan hendap oleh pejuang-pejuang pemisah kelmarin di Shakhtarsk, salah sebuah bandar yang terletak berhampiran dengan lokasi tapak nahas.
Seramai 13 lagi askar dilaporkan cedera manakala 11 lagi hilang.
Pejuang pemisah berkata, mereka berjaya membuatkan askar-askar kerajaan berundur dari Shakhtarsk yang menjadi lokasi pertempuran sengit sejak beberapa hari lalu.
Misi tersebut disertai seramai 70 pakar termasuk dari Australia dan Belanda serta dari Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE).
"Kerja-kerja mencari dan siasatan bermula serta-merta," kata OSCE dalam laman Twitter.
Pesawat MH17 itu terhempas semasa ia dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Lebih 200 buah keranda yang mengandungi mayat penumpang dan kru MH17 telah dihantar ke Belanda untuk dikenal pasti. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz39BJk7RtM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment