Friday, August 8, 2014

Tentera Ukraine gandakan serangan di Donetsk


BEBERAPA orang tentera Ukraine menaiki kereta kebal APC ketika menjalankan rondaan di timur wilayah Donetsk, kelmarin. - AFP
DONETSK 7 Ogos - Tentera Ukraine melancarkan serangan bom mortar ke kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia semalam, mengakibatkan tiga orang terbunuh dan berlaku ba­nyak kemusnahan.
Majlis Perbandaran Donetsk dalam satu kenyataan berkata, serangan mortar itu berlaku di sekitar ibu pejabat agensi keselamatan serantau Ukraine (SBU) dan pihaknya mengarahkan orang ramai supaya tidak berada di jalan raya serta mencari tempat perlindungan yang selamat.
Seorang wartawan AFP turut melaporkan terdengar bunyi serangan awal pagi ini di tengah bandar Donetsk.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan berkata, serangan yang berlaku sepanjang malam itu turut mengakibatkan lima lagi cedera di daerah Budyonivsky.
Selain itu, serangan mortar turut memusnahkan tiga blok rumah pangsa dan lima buah rumah di daerah yang sama.
Serangan terbaharu itu dilancarkan selepas tentera Ukraine berikrar mahu memperhebatkan operasi untuk menawan semula kawasan yang dikuasai pemberontak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) melaporkan, orang awam merupakan kumpulan yang paling terjejas akibat serangan itu, di mana lebih 285,000 orang bertindak melarikan diri dan memberi amaran 'penghijrahan beramai-ramai bakal berlaku' jika pertempuran berterusan.
Sementara itu, pihak berkuasa bandar kedua terbesar dikuasai pemberontak iaitu Lugansk meramalkan bakal berlaku `bencana kemanusiaan' selepas simpanan makanan, air dan minyak semakin berkurangan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_12/Tentera-Ukraine-gandakan-serangan-di-Donetsk#ixzz39kOPuBUE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment