Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima keputusan Lembaga Disiplin PKR yang memecatnya dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.
Menurutnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu, 9 Ogos, keputusan oleh Parti Keadilan Rakyat untuk membatalkan keahliannya dalam parti adalah salah dan cacat dari segi undang-undang. Katanya, seperti dikatakannya dalam maklum balas terhadap Surat Tunjuk Sebab sebelum ini, pihak parti sesungguhnya keliru dengan butir-butir pertuduhan yang mahu dikenakan terhadapnya.
Katanya, Pengerusi Lembaga Disiplin gagal menyatakan secara khusus peruntukan mana di dalam Perlembagaan Parti yang dicabulinya. Dalam kenyataan itu, beliau turut menyatakan permohonannya untuk penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin dengan mencadangkan 15 Ogos 2014 sebagai tarikh yang sesuai.
Bagaimanapun, katanya, tiada jawapan balas diberikan sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripadanya.
Bagaimanapun, katanya, tiada jawapan balas diberikan sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripadanya.
Terdahulu, di Petaling Jaya, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan keputusan Majlis Presiden Pakatan (MPP) untuk memecat Abdul Khalid.
Tan, yang juga Anggota Parlimen Wangsa Maju, juga berkata antara keputusan MPP yang diingkari Abdul Khalid ialah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
"Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden PR yang dipersetujui beliau sendiri untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.
"Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek itu kerana bertentangan dengan matlamat dan manifesto PR yang dibentangkan sewaktu pilihan raya umum lalu," katanya.
Tan berkata, Abdul Khalid diberi 14 hari mulai hari ini untuk memfailkan rayuan jika merasakan pemecatan itu tidak wajar dan beliau dinafikan keadilan.
"Jika Abdul Khalid membuat rayuan, MPP akan menubuhkan satu jawatankuasa berasingan bagi mendengar kes ini," katanya.
No comments:
Post a Comment