LONDON 15 Sept. - Satu laporan statistik terkini mengejutkan, menunjukkan secara purata kanak-kanak Islam lebih ramai dilahirkan dan membesar di bandar raya Birmingham berbanding Kristian, serta beberapa bandar besar lain di Britain.
Akhbar Daily Mail melaporkan bahawa, pendedahan laporan statistik terbaharu yang dikeluarkan daripada bancian penduduk 2011, memberi gambaran masa depan yang bakal berlaku ekoran perubahan demografi di seluruh Britain yang semakin pantas berkembang itu.
Profesor Ted Cantle dari Yayasan ICoCo yang bertanggungjawab menggalakkan perpaduan masyarakat Britain berkata, keadaan tersebut berlaku disebabkan aliran masuk penduduk Islam yang berterusan dari beberapa negara Asia ke Britain.
"Tahap kesuburan yang lebih tinggi dalam kalangan penduduk Islam dari Asia turut mempengaruhi pertambahan bilangan kanak-kanak dari agama itu.
"Selain itu, terdapat kemerosotan jangka panjang yang mendadak terhadap sokongan ke atas agama Kristian berbanding Islam," katanya.
Di Birmingham, seramai 97,099 dari 278,623 kanak-kanak didaftarkan sebagai Islam berbanding 93,828 kanak-kanak Kristian, sementara selebihnya didaftarkan sebagai Hindu, Yahudi dan lain-lain.
Selain itu, trend yang sama turut didapati berlaku di beberapa bandar utama lain di Britain seperti di Bradford dan Leicester, bandar Luton di Bedfordshire dan Slough di Berkshire.
Beberapa pakar berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pergolakan tidak tercetus dalam kalangan penduduk berlainan agama di Britain.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140916/lu_04/Generasi-muda-Islam-bertambah-di-Britain#ixzz3DQY2S8bI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment