Tuesday, September 16, 2014

Puluhan hilang di pesisiran Libya


Tripoli: Puluhan pendatang warga Afrika hilang dan dikhuatiri mati selepas bot dinaiki mereka karam di luar pantai Libya.

Jurucakap tentera laut Libya Kolonel Ayub Kassem berkata, hanya 36 daripada pendatang terbabit termasuk tiga wanita berjaya diselamatkan selepas bot yang membawa kira-kira 200 pendatang itu karam di timur Tripoli, kelmarin.


“Kami melihat banyak mayat terapung tetapi tidak dapat menaikkan mereka ke darat disebabkan kekurangan peralatan selain hari semakin gelap.

“Keutamaan kami ketika itu adalah menyelamatkan sebanyak mungkin mangsa,” katanya.


Libya yang dibelenggu pergolakan dan masalah politik semakin menjadi batu loncatan untuk pendatang dari Afrika ke Eropah, selain sasaran sindiket pemerdagangan manusia untuk melintasi Laut Mediterranean, terutama ke Itali.


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, puluhan orang hilang dan dikhuatiri maut selepas bot usang yang mereka naiki karam.

Kejadian paling teruk sejak kebelakangan ini berlaku hujung bulan lalu apabila 170 pendatang hilang di pesisiran pantai Libya.

Tahun ini turut melihat ledakan pendatang yang meninggalkan benua Afrika untuk ke Eropah dan Asia Barat.

UNHCR melaporkan lebih 100,000 sampai ke Itali sejak awal tahun ini dan hampir 2,000 maut dalam usaha memulakan kehidupan baru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

No comments:

Post a Comment